Ekonomi

ESR Garage sumbang 20,200 ekor ayam segar kepada asnaf

SIMPANG EMPAT 29 Mac – Syarikat permotoran, ESR Garage, tampil menyumbangkan sebanyak 20,200 ekor ayam segar kepada golongan asnaf di seluruh Perlis, sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersempena penghujung bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Sumbangan besar ini disalurkan menerusi kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan diagihkan kepada para penerima yang layak melalui masjid-masjid terpilih di seluruh negeri.

ESR Garage, atau ESR Motor, merupakan bengkel motosikal berprestasi tinggi yang telah bertapak selama tujuh tahun di Malaysia. Ia terkenal dalam kalangan peminat motosikal kerana menyediakan aksesori dan alat ganti premium, serta perkhidmatan naik taraf prestasi motosikal pada harga berpatutan. Produk mereka hadir di bawah dua jenama tersendiri iaitu REDLEO dan ESR Motor, dengan jaminan bahawa kesemua alat ganti adalah baharu dan asli, hasil penyelidikan mekanik profesional syarikat itu sendiri.

Menariknya, ESR Garage merupakan syarikat milik anak muda kelahiran Perlis, Adib Affandi Mohamad, yang aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan dan CSR khusus untuk rakyat negeri asalnya. Selain menunaikan zakat perniagaan melalui MAIPs, beliau turut menyumbang pelbagai bentuk bantuan secara langsung kepada masyarakat.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs, berkenan menyempurnakan majlis penutup agihan ayam tersebut yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Titi Beratap, Behor Mali.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ESR Garage atas komitmen berterusan membantu golongan memerlukan.

“Kami amat menghargai sumbangan besar yang diberikan oleh ESR Garage. MAIPs mendoakan agar syarikat ini terus maju dan diberkati dalam setiap usaha mereka, khususnya dalam membantu meningkatkan kesejahteraan ummah,” katanya.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button