Nasional
Enam individu ditahan susulan pergaduhan di stesen LRT
ENAM individu ditahan oleh polis kerana dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Jumaat lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, semua mereka berumur lingkungan 20 hingga 24 tahun itu ditahan pada petang Selasa di sekitar ibu negara.
Katanya, mereka direman selama sehari bermula Rabu bagi membantu siasatan.
Keenam-enam suspek itu katanya telah dibebaskan semalam setelah diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, namun laporan masih perlu dilengkapkan sebelum keputusan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.
Rusdi berkata dua lagi suspek berumur 22 dan 24 tahun yang direman pada Selasa lepas turut dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Pada 21 Dis, polis mengesan satu video tular memaparkan kejadian pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, laluan Ampang-Sri Petaling.
Insiden pergaduhan itu melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah serta menendang pintu tren hingga mengakibatkan kerosakan yang menyebabkan pihak Prasarana Malaysia Berhad membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan. – SM