Enam fokus pengurusan MAIPs
Pengurusan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengenalpasti enam fokus utama yang diberikan perhatian dalam melaksanakan agihan holistiknya. Inisiatif-inisiatifnya adalah Peningkatan Ekonomi Asnaf, Pendidikan, Dakwah, Perumahan Dan Penempatan, Kesihatan Dan Taraf Hidup, serta Pembangunan Amilin.
Semoga semua usaha MAIPs itu dapat dilaksanakan oleh seluruh warganya dengan lebih produktif, lebih bersedia, lebih segar dan terus bermotivasi dalam tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Chuping, dekat Padang Besar baru-baru ini.
Kayuhan amal yang dianjurkan oleh MAIPs ini bertujuan bagi membantu dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan.
Ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan turut menyertai kayuhan ini bagi memastikan inisiatif murni ini melibatkan semua peringkat serta memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar asnaf di Perlis.
Tuanku Raja Muda merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Sapayah Yaakub 75 tahun dari Kampung Paya Kelubi, Zarina Yaacub, 52 tahun juga dari Kampung Paya Kelubi dan Mat Jusoh Salleh, 77 tahun dari Kampung Berangan. Mereka setiap seorang menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah.
Di akhir program Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan meluangkan masa singgah melawat Dewan Serbaguna K3 Bukit Keteri yang baru sahaja siap dinaiktaraf dan dikendalikan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs).