
Elrah Exclusive Nafi Tuduhan Ciplak Motif Keris, Tegaskan Ia Warisan Budaya
JENAMA fesyen tempatan, Elrah Exclusive, menafikan dakwaan bahawa reka bentuk motif keris yang digunakan dalam koleksi Samping Raya Elrah Exclusive 2025 adalah hasil tiruan daripada mana-mana pihak.
Dalam satu kenyataan rasmi, Elrah Exclusive menegaskan bahawa motif keris merupakan sebahagian daripada warisan budaya Nusantara dan tidak boleh didakwa sebagai hak eksklusif individu tertentu.
“Motif keris telah lama wujud dalam seni tekstil tradisional Melayu, termasuk dalam rekaan songket, batik, samping, dan ukiran kayu. Seperti juga motif tradisional lain seperti Pucuk Rebung dan Bunga Tanjung, ia adalah sebahagian daripada seni budaya yang diwarisi sejak turun-temurun,” menurut kenyataan itu.
Elrah Exclusive turut mempersoalkan pendaftaran hak cipta motif berkenaan oleh pihak yang menuduh mereka meniru rekaan tersebut, memandangkan pendaftaran itu hanya dibuat pada tahun 2025.
“Hak cipta melindungi reka bentuk spesifik yang didaftarkan, bukan konsep atau elemen umum dalam seni tradisional. Jika motif ini benar-benar dimiliki sejak tahun 1890 seperti didakwa, mengapa tiada pendaftaran rasmi sebelum ini?” tambah kenyataan itu.
Selain itu, Elrah Exclusive menegaskan bahawa koleksi Samping Raya Elrah Exclusive 2025 dibangunkan melalui proses reka bentuk dalaman yang menyesuaikan elemen tradisional dengan gaya fesyen kontemporari.
Jenama itu juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika dakwaan tidak berasas tersebut menjejaskan reputasi dan kredibiliti syarikat mereka.