Kantoi guna duit i-Sinar sewa lori untuk bawa ketum
SEORANG lelaki menggunakan duit i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyewa lori dengan harga RM2,500 sebulan bagi mengangkut daun ketum.
Namun, cubaannya untuk membawa 1.5 tan daun ketum menggunakan lori tiga tan itu ke Seremban, tidak kesampaian apabila ditahan polis di Kampung Tong Prok, Mukim Padang Kerbau, di sini, semalam.
Memetik laporan Harian Metro lelaki berusia 33 tahun itu ditahan pukul 12.45 pagi itu oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Kubur Panjang.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, hasil pemeriksaan dalam lori itu menemui 80 karung plastik mengandungi daun ketum.
Katanya, lelaki tersbeut merupakan bekas pemandu bas ekspres yang diberhentikan kerja berikutan penularan Covid-19.
“Suspek dipercayai diupah oleh seorang lelaki untuk membawa daun ketum itu ke Negeri Sembilan dengan bayaran RM2,000 untuk satu trip perjalanan.
“Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak itu sanggup melakukan kegiatan itu seorang diri dan membawa daun ketum berkenaan dari Padang Terap,” katanya.
Pemeriksaan lanjut mendapati itu merupakan kali pertama suspek melakukan kegiatan tersebut dan menyewa lori itu pada 9 Januari lalu sebaik memperoleh wang i-Sinar.
Katanya, nilai keseluruhan daun ketum dirampas ialah RM22,000.
“Suspek berasal dari Sungai Petani itu kemudian ditahan untuk membantu siasatan dan direman empat hari bermula semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.