Dua suara, satu Malam, magis konsert Afgan dan Lyodra
SABTU malam minggu lalu, Megastar Arena di Kuala Lumpur dipenuhi dengan sorakan dan kegembiraan ketika dua bintang terkemuka Indonesia, Afgan dan Lyodra, menghidupkan konsert istimewa “ADA AFGAN & LYODRA”. Penganjuran konsert ini oleh Kharisma Music (KM) dan jenama kosmetik Alha Alfa, bersama Intan Gelombang dan Futurace, menarik perhatian peminat dari Malaysia maupun negara jiran.
Pembukaan konsert dimulakan dengan persembahan mengagumkan oleh Ash Fasryll, pendatang baru berbakat, yang memikat penonton dengan lagu “Nyaman” dari Andmesh Kamaleng. Ash mengungkapkan rasa terima kasih.
“Saya sangat bersyukur dipilih sebagai ‘opening act’ dan berpeluang menunjukkan bakat di hadapan semua.” katanya.
Ketika Afgan dan Lyodra muncul, suasana menjadi semakin hangat. Mereka menyampaikan persembahan luar biasa yang memikat hati ribuan peminat. Afgan, dengan suara merdunya, membawakan lagu-lagu hits seperti “Jodoh Pasti Bertemu” dan “Bawalah Cintaku”. Lyodra pula tidak ketinggalan dengan lagu-lagu popular seperti “Sang Dewi” dan “Ada”, menjadikan malam itu tidak terlupakan.
Menurut Afgan berkongsi pentas bersama bakat baru Lydora di Kuala Lumpur adalah luar biasa selain dapat menghiburkan peminat di Kuala Lumpur.
“Pengalaman malam ini sungguh luar biasa saya teruja dapat berkongsi pentas dengan Lyodra dan berinteraksi dengan peminat di Kuala Lumpur.”
Lyodra yang baru muncul dalam industri seni, sudah ramai peminat di Kuala Lumpur dan teruja untuk mengadakan konsert di sini.
“Saya sangat berbesar hati dapat mengadakan konsert di sini dan berjumpa peminat yang begitu menyokong”, luahnya.
Konsert ini dihadiri ribuan peminat, menjadikan suasana malam itu meriah dengan sorakan dan gelak tawa. Selain persembahan hebat, acara ini juga disokong oleh rakan radio seperti ERA, Sinar, dan Gegar, serta rakan media rasmi, Gempak.
En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif Kharisma Music, berkongsi visi masa hadapan untuk mengadakan lebih banyak konsert.
“Untuk tahun 2024, kami merancang lebih banyak konsert, termasuk siri di luar negara seperti Indonesia dan Singapura.”
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua penganjur dan warga kerja KM yang telah bertungkus-lumus menjayakan acara ini.
Konsert ini bukan hanya tentang muzik, tetapi juga tentang kenangan indah yang akan kekal dalam ingatan peminat. Kemeriahan malam itu membuktikan betapa besar cinta peminat terhadap dua bintang ini.
Artikle Berkaitan :>
Gabungan konsert Afgan dan Lyodra pertama kali di Kuala Lumpur