Nasional
Dua pelajar maut kena rempuh pemandu mabuk
DUA pelajar koleh maut dipercayai dirempuh lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dalam kemalangan dekat Jalan Cheras.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 6.43 pagi melibatkan empat kereta dan dua motosikal.
“Sebuah kereta dipandu seorang individu dipercayai terbabas sebelum memasuki jalan bertentangan dan melanggar beberapa buah kenderaan lain.
“Dua individu maut merupakan penumpang salah sebuah kenderaan yang dilanggar berumur lingkungan 22 tahun dan pelajar di sebuah kolej,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Zamzuri, individu memandu kenderaan yang melanggar lima kenderaan ini kini ditahan untuk siasatan lanjut.
“Individu terbabit merupakan lelaki tempatan berumur 23 tahun dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.
“Siasatan berkaitan kejadian berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit diminta tampil ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk membantu siasatan,” katanya. – s