Jenayah

Dua beradik tunggang motosikal dirempuh lori kurier

MELAKA 1 Feb. – Gara-gara melanggar lampu isyarat merah dua wanita adik-beradik cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kurier di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat di Lebuh AMJ, malam tadi.

Lebih menyedihkan kedua-dua beradik dari Kampung Anak Ikan Dalam Jabi, Jerteh, Terengganu itu masih tidak sedarkan diri selepas dimasukkan ke Hospital Alor Gajah akibat kemalangan tersebut.

Menerusi rakaman video dashcam milik seorang pemandu kereta yang berada di tempat kejadian mendapati penunggang terbabit yang pada mulanya berhenti di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat terus membelok ke kanan ke arah Brisu sebelum dirempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Sup Arshad Abu berkata, dalam kejadian yang berlaku pukul 8.15 malam itu, dua mangsa itu yang datang dari arah Plaza Tol Simpang Ampat menuju ke Alor Gajah manakala lori terbabit pula dari arah Alor Gajah.

Menurutnya, hasil siasatan dan rakaman video dashcam milik pemilik kereta yang berada di tempat kejadian mendapati dua beradik itu yang datang dari arah Plaza Tol Simpang Ampat berhenti di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat kerana berwarna merah.

“Lori yang dinaiki pemandu dan kelindannya masing-masing berusia 28 tahun datang dari arah Alor Gajah meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat berwarna hijau.

“Setibanya lori itu di tempat kejadian, motosikal yang ditunggani dua beradik berasal dari Terengganu itu terus membelok ke kanan lampu isyarat lalu dirempuh oleh lori berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata, terdapat kesan tayar bermula di laluan lori berkenaan hingga ke pertengahan lampu isyarat dan kesan geseran juga turut ditemui di pertengahan lampu isyarat.

Katanya, ketika itu keadaan jalan Simpang Ampat berlampu isyarat manakala keadaan cuaca baik dan cerah berlampu jalan.

Jelasnya, dua beradik itu kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut manakala pemandu dan kelindan lori telah diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

“Keadaan kedua-dua mangsa masih tidak sedarkan diri akibat kemalangan yang berlaku,” ujarnya lagi.

Ujarnya, kedua-dua beradik itu dipercayai datang ke Alor Gajah dari Ampang dan tidak diketahui tujuan mereka.

Menurutnya, kes tersebut diklasifikasi mengikut Seksyen Sek 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button