Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh berhubung pengampunan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 tidak tepat dan boleh menggugat hubungan baik dalam Kerajaan Perpaduan.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, menggesa Dr Muhammad Akmal sepatutnya menyemak fakta terlebih dahulu sebelum semberono mendakwa pengampunan Anwar mungkin tidak mengikut prosedur ditetapkan.
Faezuddin berkata, pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar adalah hasil daripada proses undang undang yang sah.
Katanya, ia bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kerajaan ketika itu membuat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan beliau.
Permohonan tersebut, katanya, dibentangkan kepada Lembaga Pengampunan yang terdiri daripada ahli-ahli yang berkenaan dan Agong pada waktu itu, Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh.
“Ini (pengampunan penuh) sememangnya hak prerogatif baginda yang dijamin di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Pengampunan itu sekaligus membersihkan YAB Datuk Seri Anwar daripada sebarang sabitan dan membolehkan beliau kembali aktif dalam arena politik negara,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, ujar Faezuddin, pihak yang mempertikaikan kesahihan prosedur pengampunan telahpun mencabarnya di mahkamah, dan pada 2023 lalu Mahkamah Persekutuan Putrajaya telah menolak permohonan seorang peguam untuk mengembalikan saman mencabar kesahan proses pengampunan diraja tersebut.
Dengan ditutupnya kes perundangan ke atas pengampunan, Faezuddin berkata, adalah terlalu dangkal apabila Dr Muhammad Akmal masih ingin memainkan isu berkenaan dalam kenyataannya.
“AMK Johor ingin menasihatkan Dr Muhammad Akmal agar menyemak fakta dan memahami proses ini sebelum membuat kenyataan yang berbaur prejudis.
“Sebagai pemimpin, adalah penting untuk beliau memastikan kenyataannya tidak mengelirukan rakyat atau mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi diraja.
“Sebagai Ketua Pemuda UMNO, beliau juga perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutamanya apabila UMNO adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sering menekankan kepentingan untuk saling menghormati dalam kalangan parti komponen kerajaan.
“Bagaimana kita boleh menuntut pihak lain menghormati UMNO jika pemimpin UMNO sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan? Adakah tindakan menyerang rakan komponen ini adil dan wajar, terutamanya ketika negara memerlukan kestabilan,” katanya.
Sehubungan itu, Faezuddin menasihatkan Pemuda UMNO untuk memastikan Kerajaan Perpaduan agar kekal utuh dan setiap parti komponen mesti saling menghormati serta menjaga keharmonian. – SM