Hiburan

Dituduh kaki sondol oleh bekas adik ipar, Fiza Halim buat laporan polis

PELAKON, Fiza Halim terpaksa membuat laporan polis selepas seorang wanita yang dipercayai bekas adik iparnya mendakwa wanita itu sebagai perampas suami orang.

Menurut Fiza, laporan polis itu dibuat pada 7 Julai lalu di Balai Polis Mutiara Damansara dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya mohon maaf kerana tak dibenarkan memberi apa apa kenyataan berhubung perkara berbangkit dan tular itu.

“Ia memang masih dalam siasatan polis. Dalam minggu depan insya-Allah saya akan mendapat keputusan hasil siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Fiza, dia menyerahkan siasatan kepada pihak polis dan tidak bermaksud untuk mengelak daripada rakan media.

Ujarnya, biarlah pihak berwajib lakukan kerja mereka dahulu dan jika ada sebarang maklumat terkini, dia akan memaklumkannya kelak.

Terdahulu, seorang wanita telah mendedahkan cerita berkenaan Fiza di Twitter dan mendakwa wanita itu sebagai perampas suami orang.

Untuk rekod, Fiza yang kini berstatus solo sudah tiga kali mengalami penceraian selepas berkahwin pada 2010, 2013 dan 2016.

Bersama suami pertama, Ahmed Farriq Zainul Abidin, mereka dikurniakan dua anak iaitu Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12. Fiza dan Ahmed Farriq bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.

Perkahwinan kedua Fiza dengan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia (AF), Adam, pada September 2013, juga tidak kekal.

Fiza kemudian bertemu jodoh dengan juruterbang berstatus duda dua anak, iaitu Aizat Al Jefri pada Disember 2016. Melalui perkahwinan itu, Fiza dan Aizat dikurniakan cahaya mata, Baby Aleena yang berusia hampir tiga tahun. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button