Politik

Dilema Malaysia: Bila tiba-tiba jadi ahli parlimen dan menteri

Isu menteri yang tidak cekap belum selesai, kini timbul pula isu ahli parlimen yang tuang atau tidak hadir sidang parlimen. Kalau ahli parlimen tidak hadir parlimen mereka sepatutnya meletakkan jawatan sahaja.

Soal menteri jika kita bandingkan menteri pertahanan kita dengan menteri pertahanan Singapura sahaja kita akan berasa seram. Menteri-menteri Singapura terdiri daripada individu yang sangat terpelajar dan diberi pendedahan di dalam bidang berkaitan dengan sangat luas menyebabkan mereka sangat mahir dan cekap dengan tugas mereka.

Jika menteri pertahanan mereka akan diberi pendedahan secukupnya berkaitan pertahanan dan yang paling ialah perisikan serta strategi. Berbanding Malaysia menteri pertahanan hanya mempunyai latar belakang pendidikan di bidang kulinari itupun tidak tamat pengajian dan lebih popular sebagai badut politik.

Itu belum kementerian pendidikan, kewangan dan banyak lagi memang tidak cekap. Malaysia sebenarnya berada pada kedudukan mundur apabila diwakili oleh menteri-menteri yang tidak cekap dan dikelilingi oleh pegawai lantikan politik yang sama tidak cekap.

Melihatkan keadaan ini negara tidak akan dapat berbuat apa-apa kecuali pada pilihan raya akan datang diangkat pihak lain yang lebih berkemampuan untuk menerajui negara.

Bayangkan tahun hadapan tidak sampai dua bulan lagi negara kita sepatutnya telah mencapai status negara maju dengan dipacu pertumbuhan yang hebat untuk mencapai negara berpendapatan tinggi, tetapi kita sama mundur dengan negara lain di dunia ini.

Lihat sahaja negara jiran kita Filipina untuk menganjurkan Sukan SEA sahaja pun mereka tidak dapat lakukan dengan baik berbanding apa yang kita lakukan ketika di Kuala Lumpur tempoh hari.

Kini ahli parlimen kerajaan pula sering tidak hadir ke parlimen dengan alasan letih kerana perlu hadir setiap sidang hingga ke tengah malam. Jadi sebab itulah seorang demi seorang ahli parlimen kerajaan jatuh sakit dan meninggal dunia kerana tidak dapat menghadapi tekanan dan bebanan tugas.

Sesi Belanjawan 2020 yang sedang melalui proses perbahasan dan penggulungan di Dewan Rakyat sejak Oktober hingga bulan depan menyebabkan kebanyakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan mengadu keletihan akibat balik lewat malam setiap hari.

Ketua Whip PKR merangkap Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, kebanyakan Ahli Parlimen dan ada antara menteri dan timbalan menteri tidak sempat bangun awal pagi kerana kepenatan hingga mengakibatkan masalah tidak cukup kuorum. Disebabkan itu, ada yang terpaksa bergegas saat akhir ke dalam dewan untuk meluluskan perbelanjaan.

“Lazimnya kalau kamu lihat dalam sesi bajet ini kita balik lewat, selalunya 10.30 malam dan semasa sampai di rumah pukul 12 malam mandi dan tidur pukul 1 pagi sebelum mengucapkan hai kepada isteri dan bangun lewat pagi untuk sesi pagi kerana kepenatan. “Jadi kita kena bincang dengan Yang DiPertua Dewan Rakyat supaya melihat balik bagaimana Ahli Parlimen boleh mendapat masa berkualiti kerana sekarang agak keletihan dan agak tidak produktif.

“Keduanya ialah mereka dihimpit dengan banyak sangat program pada masa yang sama disebabkan hujung tahun dalam kementerian dan tempat lain yang perlu diberi fokus juga. Memang kita ada jadual tugas tetapi ada yang ikut dan ada yang tidak dapat,” katanya.

Beliau diminta mengulas insiden penggulungan belanjawan 2020 Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat malam tadi yang hampir ditolak apabila kehadiran wakil rakyat PH tidak memuaskan.

Keadaan itu menyebabkan pembangkang secara mengejut memohon undi belah bahagian sebelum berjaya diluluskan dengan 45 undi dari kerajaan dan 28 dari pembangkang yang tidak setuju.

Mengulas lanjut, katanya, walaupun kebanyakan wakil rakyat PH tidak berada dalam sesi Dewan Rakyat, mereka masih berada dalam radius sama di dalam bangunan Parlimen dan boleh bergegas pada saat akhir untuk mencukupkan kuorum.

“Pengundian diambil malam tadi tapi bagaimanapun kami mampu meluluskan dengan sokongan undi 45 orang dari PH. Mungkin pembangkang BN anggap boleh mengalahkan kami, menolak bajet kerana menyangkakan kami tidak berada di Parlimen.

“Sebenarnya mereka tak nampak kami berada di dalam bangunan Parlimen malam tadi maka tidak perlu risaukan lagi mengenai perkara itu,” sambil mengakui keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dan angka kehadiran sepatutnya ramai.

Johari memberitahu,  beliau akan mencari penyelesaian dan berbincang dengan speaker Dewan Rakyat bagaimana untuk berlaku adil kepada semua wakil rakyat di dalam dewan.

“Jika ambil saya sebagai contoh, saya sentiasa jadi orang pertama masuk dewan dan orang terakhir meninggalkan dewan, tetapi saya tidak boleh meneruskan ini secara konsisten untuk tiga tahun akan datang walaupun saya berusia 40 tahun hari ini.

“Maka semuanya ada batasan tetapi tidak mengapa saya akan cuba menyelesaikan perkara berkenaan dengan Speaker nanti untuk memastikan kita tidak berdepan masalah kuorum di dewan semasa perbahasan selepas ini.

“Saya tahu BN akan kekal di dewan sehingga sidang ditangguhkan lewat malam walaupun kami tidak ada dalam dewan tapi ada di luar dewan, inilah yang kami lakukan dulu semasa BN memerintah yang mana sentiasa mengejar mereka.

“Cuma kali ini kami berjaga-jaga dan peka dengan apa yang berlaku di sekeliling dan kami tahu mereka akan memilih ‘serang’ kementerian Pembangunan Wanita kerana ia diwakili Timbalan Perdana Menteri. Tapi bersyukur kami menang malam tadi,” ujarnya.

Ditanya mengenai komen netizen bahawa Ahli Parlimen PH yang mahukan jawatan tetapi tidak mahu pergi dan duduk dalam Dewan Rakyat, katanya, itu satu teguran baik dan media perlu terus menulis komen rakyat.

“Saya jemput anda (media) tulis lagi banyak sebab ini negara bebas bersuara, bukannya seperti saya tidak mahu tulis ini tidak mahu serang ahli Parlimen. Kalau anda rasa sesuatu perlu diperbetulkan, silakan tulis secara bebas.

“Kamu menghabiskan lebih banyak masa di sini dan melihat karakter, kelakuan kami dan pembangkang, maka tulislah demi kebaikan negara dan Parlimen sebab kami bergantung kepada media yang terlalu bebas dan tidak, memihak mana mana pihak.

“Kita saling tidak berhutang apa-apa, jadi tulislah apa jua yang dirasakan baik untuk perubahan negara dan kami akan lakukan yang terbaik untuk negara,” tegasnya.

Ditanya sebarang tindakan ke atas wakil rakyat PKR yang tidak ada dalam Dewan Rakyat malam tadi, katanya, beliau akan menulis surat kepada mereka dan meminta penjelasan tentang ketidakhadiran mereka dan mengakui ada sebahagiannya sudah membalas.

“Tetapi saya akan terus mengingatkan mereka mengenai tanggungjawab mereka hadir ke Parlimen dan sebagai Ketua Whip, saya akan berbincang dengan mereka dan memberi mesej jelas mereka yang tidak terlibat dengan apa apa program di luar negara supaya hadir ke Parlimen.

“Apatah timbalan menteri dan menteri bukan sepanjang masa terikat dengan program rasmi kementerian. Jika anda (ahli-ahli Parlimen) tidak komited dengan program dan tahu kami komited di Parlimen, sila kembali dan sertai sesi perbahasan kerana kita tidak boleh sentiasa bergantung kepada wakil rakyat sama di sidang dewan kerana kami pun penat juga,” tegasnya

Jadi jika perdana menteri melakukan rombakan dalam masa terdekat ini mungkin ia sedikit sebanyak dapat memperbetulkan keadaan sekarang dan dapat mengelak daripada kerosakan yang lebih teruk.

Jika keadaan ini tidak diperbetulkan sampai 2050 pun negara tidak akan mencapai status negara maju. Ibarat main dam ular kita akan berlegar di tahap yang sama dan tidak menemui tangga untuk naik ke peringkat yang lebih tinggi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button