SEMEMANGNYA memberi kesan yang amat besar kepada diri seseorang jika tindak tanduk yang dilakukan membabitkan isu akidah, pegangan agama, kepercayaan dan keimanan terhadap agama yang dianuti menjadi polemik dalam kalangan masyarakat.
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Bila sudah terpampang di media-media sosial termasuk akhbar arus perdana sudah pasti ia menjadi perhatian ramai, apatah lagi video mengenai perbuatan itu ditonton jutaan orang.
Sukar untuk dimengertikan apa yang ada dalam fikirannya tatkala melakukan sesuatu perkara yang dianggap benar di matanya tapi tidak di mata jutaan lagi mata-mata lain yang melihatnya.
Benar kita sudah berada di fasa dunia akhir zaman dan ia sudah jelas dinyatakan di dalam kitab suci al-Quran. Kita tidak boleh hanya memandang dan melihat tanpa melakukan apa-apa apabila agama diperlakukan mengikut acuan sendiri dan mengikut selera yang diingini.
Betapa mulianya akhlak Nabi Muhammad SAW yang dipotretkan sebagai kekasih Allah SAW dari Tanah Arab dan sepatutnya menjadi ikutan oleh segenap bangsa dan keturunan yang menganuti agama Islam.
Seorang teman dalam hantarannya di media sosial melontarkan pandangan bahawa perbuatan tersebut sangat bertentangan dengan segala iktikad yang kita Imani selama ini dan tidak lebih seperti satu fitnah kepada Islam yang suci.
“Walau sangat jelas kesesatannya namun belum difatwakan sesat. Tapi insya Allah kalau kita guna dan bersandarkan segala ilmu yang kita dah pelajari selama ini, pelajar sekolah pun tahu betapa sesat ajaran ini.
“Satu cubaan yang menggunakan nama ‘Tuhan Yang Satu’ untuk mengubah 360 darjah, seluruh mengenai Islam yang kita anuti selama ini. Oleh itu, jangan dek kerana belum difatwakan sesat maknanya, kita boleh try n test… Don’t spoil your beautiful brain, the best ever gift from Allah!,” tulis sahabat Mak Teh
Biar dihujani dengan kata-kata kurang enak ekoran ramai yang tersinggung dan marah dengan perbuatannya, dia tetap teguh mempertahankan pegangannya dan terus berhujah untuk menyatakan dirinya di pihak benar.
Seorang kenalan lama juga berkata, biarlah dia, biar Jakim siasat, biar pihak berkuasa buat kerja mereka. Jika salah akan diperbetulkan. Begitulah reaksi ringkasnya bila membicarakan isu ini. Katanya lagi, biarlah dia jawab dalam kubur dia.
Saidina Ali R.A sudah beritahu, kebatilan yang tersusun dapat mengalahkan kebenaran yang berterabur.
Baiklah mari kita masuk dapur. Minggu ni Mak Teh masak sambal tumis ikan bilis dan lempeng kelapa.
Bahan-bahan sambal tumis
Semangkuk ikan bilis – dicuci dan ditoskan
2 genggam cili kering -direbus dan dikisar
15 ulas bawang merah
1 biji bawang besar dihiris agak kasar
Setengah kotak kecil santan
Minyak untuk menumis
Sedikit air asam jawa
Sedikit gula jika suka
Garam
Perasa jika suka
Cara-caranya
Panaskan minyak, goreng ikan bilis sehingga garing, angkat dan ketepikan. Guna minyak yang sama
Tumis bawang merah yang sudah dikisar sehingga pecah minyak. Masukkan cili dan kacau selalu sehingga benar-benar masak dan masukkan air asam jawa, santan dan bawang besar hiris biarkan mereneh seketika sebelum masukkan ikan bilis, garam, perasa dan gula.
Untuk lempeng campurkan saja dua cawan tepung gandum bersama satu cawan kelapa parut, sedikit garam, sesudu minyak masak dan air. Jangan terlalu pekat dan jangan terlalu cair.
Masak atas kuali sehingga keperangan dan angkat. Sedia untuk dihidangkan. – SM