Alam Sekitar

Denai Warisan menghubungkan pengunjung dengan khazanah alam semulajadi

Denai Warisan di Wang Kelian bukan sekadar laluan, tetapi sebuah tapak yang menghubungkan kita dengan keindahan alam semulajadi, khazanah warisan dan budaya yang telah lama menjadi kebanggaan negeri Perlis.

Denai Warisan ini juga dikenali kerana kaya dengan nilai sejarah dan kepelbagaian biologi serta bentuk rupa muka bumi yang menjadi aset pelancongan untuk negeri dan masyarakat setempat.

Pada masa yang yang sama adalah disarankan agar infrastruktur dan kemudahan awam di sepanjang denai ini dapat terus ditambah baik dari masa kesemasa. Lebih banyak akses jalan, pembinaan tempat rehat dan papan tanda maklumat, serta kempen promosi yang bersasar dapat menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Wang Kelian baru-baru ini.

Kayuhan amal itu dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai oleh Tuanku Raja Muda Perlis sendiri dan turut disertai oleh ketua-ketua jabatan serta agensi Negeri dan juga Persekutuan.

Usaha ini merupakan acara mingguan yang dijalankan oleh pihak MAIPs dengan kerjasama pelbagai rakan strategik dalam usaha membantu golongan asnaf keluar dari kepompong kemiskinan dan menambah baik kehidupan mereka dan keluarga.

Tuanku Raja Muda turut yakin dengan sokongan berterusan daripada pihak Kerajaan, rakan strategik, dan komuniti setempat, Denai Warisan
yang baru sahaja menjalani proses baik pulih yang menghubungkan dua kampung iaitu Kampung Wang Kelian dan juga Pekan Kaki Bukit
ini akan mampu menjadi mercu tanda ikonik baru yang mampu memacu perkembangan ekonomi yang mampan serta menjaga kelestarian alam sekitar kita.

Tuanku Syed Faizuddin Putra sekali lagi mengucapkan penghargaan kepada Roots and Shoots Malaysia, The Habitat Foundation, Kementerian Kewangan Malaysia, Manulife Holdings Bhd, Sustainable Tourism Network Malaysia, Monyet Ventures, Perlis Nature Explorer, Komuniti Kaki Bukit, Komuniti Wang Kelian, dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis atas kerjasama dan komitmen yang luar biasa dalam menjayakan usaha ini.

Di samping itu, penyediaan kursus latihan kepada penduduk tempatan dalam bidang hospitaliti, pemandu pelancong, dan pengurusan perniagaan kecil juga penting untuk meningkatkan kebolehan mereka dalam sektor ini.

Sempena kayuhan kali ini Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Abdullah Mat Isa, 85 tahun, Abdul Halim Che’izham, 54 tahun dan Jamizah Abdullah kesemuanya dari Kampung Wang Kelian.

Masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM 700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan harian sekeluarga.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button