Banjir

DBKL aktifkan bilik berakan Pantau banjir di Kuala Lumpur

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengaktifkan bilik gerakan untuk memantau situasi banjir di ibu negara, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa. Bilik gerakan ini dipantau oleh petugas melalui kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan sebarang kenaikan paras air di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai berisiko.

Dr. Zaliha menyatakan bahawa sebanyak 24 lokasi di sekitar Kuala Lumpur telah dikenal pasti sebagai kawasan panas banjir, termasuk Jalan Pudu, Jalan Sultan, Bulatan Dato’ Onn, Jalan Peel, Jalan Maharajalela, dan Jalan Genting Klang.

“Jika terdapat kenaikan paras air, tindakan segera akan diambil untuk mengurangkan risiko banjir,” jelas beliau kepada pemberita semasa lawatan ke kawasan banjir di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

Banjir Disebabkan Taburan Hujan Tinggi

Dalam pada itu, Dr. Zaliha memaklumkan bahawa banjir yang berlaku di 24 lokasi hotspot sekitar jam 8.30 pagi tadi adalah akibat daripada taburan hujan yang luar biasa, mencapai 118 milimeter (mm) sejam.

“Usaha mitigasi banjir telah dilaksanakan dengan pantas, termasuk pengaktifan lima pam air di beberapa kawasan sekitar ibu negara dan kawalan lalu lintas oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur,” tambah beliau.

Universiti Malaya Dilindungi Sistem Amaran Banjir

Mengulas mengenai banjir di Universiti Malaya, Dr. Zaliha berkata tiada pelajar yang terlibat dalam insiden tersebut, dan tindakan mitigasi berjaya dilaksanakan dengan cepat. Universiti tersebut mempunyai sistem amaran banjir tersendiri, yang membantu dalam pemindahan kenderaan yang diletakkan di kawasan terjejas. Hanya enam kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan kecil.

Selain itu, beliau turut menekankan keperluan penyelenggaraan kolam takungan di UM yang mampu menampung sehingga 16,000 meter padu air.

“Jika kerja-kerja mengeluarkan endapan dapat dilakukan dengan segera, kapasiti tadahan air akan bertambah, sekaligus mengurangkan risiko banjir di masa hadapan apabila hujan lebat berlaku lagi,” jelasnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button