Datuk Jamal Abdillah sambut Kelahiran cahaya mata ketujuh
Tahniah diucapkan kepada penyanyi legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah, yang menyambut kelahiran cahaya mata ketujuhnya pada pagi tadi.
Berita gembira ini dikongsikan sendiri oleh Raja Pop menerusi aplikasi WhatsApp, memaklumkan bahawa isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.94 kilogram pada pukul 9.38 pagi.
“Alhamdulillah, pembedahan berjalan dengan sempurna. Anak dan isteri kedua-duanya sihat. Saya sangat bersyukur kepada Allah atas rezeki ini. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang menitipkan ucapan tahniah,” kata Jamal.
Jamal turut memaklumkan bahawa bayi perempuan itu bakal diberi nama Magdalena Yamani, yang membawa maksud gadis dipuja Nabi Yusuf. Nama itu dipilih sebagai simbolik keindahan dan keistimewaan cahaya mata kelima hasil perkahwinannya bersama Zai Izzati, 29. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017.
Sebelum ini kehadiran Magdalena, Jamal telah dikurniakan empat cahaya mata bersama Zai Izzati iaitu Nur Azura Yamani, 6, El Isaac Yamani, 5, Iskandar Rayyan Yamani, 3, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 2. Selain itu, Jamal juga mempunyai dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu, iaitu Osama Yamani, 22, dan Ahmad Zaki Yamani, 18.
Sebagai seorang bapa kepada tujuh orang anak, Jamal kekal komited dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan keluarga menjadi keutamaan walaupun masih aktif dalam dunia seni.
Pada usia 66 tahun, kehadiran cahaya mata baru ini melengkapkan lagi kebahagiaan Jamal dan isteri. Peminat-peminat turut meluahkan rasa teruja dan mendoakan kesejahteraan penyanyi yang telah mewarnai industri muzik Malaysia selama lebih empat dekad.
Semoga Magdalena Yamani membesar dengan sihat dan menjadi anak yang membanggakan kedua ibu bapanya. Tahniah sekali lagi buat Datuk Jamal Abdillah sekeluarga!