Dasar Perumahan Negara akan dikaji semula berdasarkan rangkuman MADANI
Dasar Perumahan Negara sedia ada akan dikaji semula berdasarkan rangkuman intisari MADANI supaya ianya dapat diterjemahkan kepada nilai kesejahteraan dan keseimbangan untuk semua kumpulan rakyat Malaysia.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) percaya melalui pembangunan dasar perumahan baharu dan perancangan yang lebih teratur, banyak perkara boleh dicapai.
Hal ini kerana KPKT menyasarkan untuk penyediaan 500 ribu rumah mampu milik menjelang tahun 2025 akan berjaya melalui kerjasama semua agensi perumahan di peringkat Persekutuan, negeri dan pemaju swasta.
“KPKT bersedia mengkaji inisiatif sedia ada, mencari peluang insentif baharu dan memudahcara semua bentuk prosedur dalam kelulusan pemajuan perumahan supaya dapat memberi ruang kepada pemaju perumahan swasta bergiat aktif untuk menyediakan perumahan mampu milik yang berkualiti dan selesa untuk rakyat.
“KPKT sedang mengkaji dasar perumahan negara bagi melihat sektor perumahan secara menyeluruh khususnya dalam meningkatkan pelaksanaan rumah mampu milik dan penyediaan perumahan awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, KPKT akan melihat beberapa contoh dasar perumahan negara-negara lain termasuk negara jiran seperti Singapura terutamanya dalam perumahan awam dan mampu milik berdasarkan kejayaan Singapura dalam penyediaan perumahan awam / sosial untuk 80 peratus rakyat Singapura yang layak dan memerlukan tanpa mengira bangsa.
“Ini membolehkan Dasar Perumahan Negara yang baharu kelak mengambil kira pelbagaimkeperluan rakyat mengikut acuan budaya, adat resam, agama dan berbilang kaum di Malaysia.
“Mengambil kira aspek pengurusan perumahan mampu milik Singapura, KPKT bercadang untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan daripada negara tersebut bagi mengukuhkan strategi pembangunan perumahan negara berpaksikan kerangka dasar madani yang menerapkan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” kata KPKT dalam kenyataan itu.