Dahulukan agenda kesejahteraan rakyat – Raja Muda Perlis
Agenda kesejahteraan rakyat perlu didahulukan dan menjadi fokus utama semua pemimpin dalam mendepani cabaran dan situasi semasa.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Mohd Muzzammil Ismail di Masjid Al-Ittifaqiah, Mengkuang Layar dekat Kangar.
Titah baginda, sikap mengutamakan kepentingan rakyat serta mengenepikan kepentingan peribadi selain bersedia untuk bekerjasama dan berkolaborasi merupakan ciri kepimpinan cemerlang yang didambakan rakyat.
Mohd Muzzammil ketika sesi mengadap berkenaan, mempersembah maklum mengenai beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh Yayasan Peneraju dalam mempertingkatkan penguasaan bumiputera dalam pelbagai bidang ekonomi melalui akademik, persijilan profesional dan kemahiran.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj. Mohd Nazim Mohd Noor ketika mengulas mengenai bentuk kerjasama yang bakal dilaksanakan pihaknya bersama Yayasan Peneraju berkata, aspek ‘keperluan’ dan ‘kesediaan’ menjadi elemen utama dalam mengenalpasti kolaborasi yang akan dijalinkan.
“Perkongsian hasrat dan matlamat antara kedua belah pihak juga adalah faktor yang mendorong kerjasama dalam pendidikan dan kemahiran golongan sasar,” tambah beliau.
Yayasan Peneraju telah berjaya mengembangkan potensi lebih dari 33,000 golongan bumiputera seluruh Malaysia melalui 261 program pembiayaannya melalui peruntukan kerajaan selain turut mendanai inisiatifnya dengan kerjasama korporat dan agensi.