Luar Negara

Selepas 30 tahun pergunungan Himalaya dapat dilihat dalam jarak 200KM

SEMUA yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Biarpun kebimbangan menguasai penduduk di seluruh dunia kerana penularan wabak COVID-10, langkah perintah berkurung yang dikenakan ke atas penduduk di Utara India membawa satu rahmat yang selama ini tidak dapat dirasai.

Pelaksanaan perintah berkurung adalah untuk mengekang dan memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan ia secara tidak langsung telah membantu menurunkan tahap pencemaran dengan ketara sekali.

Dalam tempoh 30 tahun, buat pertama kalinya penduduk di bahagian Utara India dapat melihat keindahan Gunung Himalaya yang diliputi salji dari jarak 200 kilometer.

Sebelum ini, penduduk tidak dapat melihat pergunungan Himalaya yang indah diliputi salji kerana pemandangan tertutup dengan pencemaran udara dan alam sekitar.

Tiada sesiapapun dalam kalangan penduduk di Utara India dapat menafikan kegembiraan dan keterujaan merka apabila dapat melihat pergunungan Himalaya yang diliputi salji.

“Kami dapat melihat pergunungan yang dilitupi salji dengan jelas dari rumah. Bintang-bintang juga sudah boleh dilihat dengan jelas pada waktu malam.

“Ini kali pertama saya dapat melihat pemandangan seumpama ini, ” kata aktivis alam sekitar, Balbir Singh Seechewal.

Memetik laporan ASTRO Awani, India sebuah negara yang mempunyai populasi penduduk hampir 1.4 bilion.

India telah melaksanakan perintah berkurung sejak 22 Mac lalu untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dan sekaligus, memutuskan rantaian pendamik ini.

Menurut Seechewal, apabila dilaksanakan perintah berkurung, bukan sahaja kenderaan yang menjalar di atas jalan-jalan raya dapat disekat.

Tetapi juga, kebanyakan perindustrian tidak beroperasi dan ditutup dan ini telah membantu menurunkan tahap pencemaran kepada paras yang rendah.

Lembaga Pencemaran Pusat India turut memaklumkan berlakunya peningkatan kualiti udara di negara itu yang bermula selepas 22 Mac lalu.

Menurut Unit Perisikan Data India (DIU), secara purata, indeks kualiti udara meningkat sebanyak 33 peratus dari 16 Mac sehingga 27 Mac lalu.

“Saya tidak pernah membayangkan akan dapat melihat alam sekitar yang sebersih ini.

“Ini membuktikan impian kita untuk melihat alam sekitar yang bebas daripada pencemaran boleh dilaksanakan.

“Ini bukanlah sesuatu perkara yang mustahil untuk dicapai.

“Marilah kita sama-sama bekerjasama untuk mengekalkan keadaan seperti ini walaupun wabak COVID-19 dapat ditangani, ” kata Seechewal. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button