Nasional

Covid-19: Perkembangan yang anda perlu tahu hari ini

WABAK Covid-19 belum menunjukkan tanda-tanda sudah dapat dikawal. Hari ini empat kematian dicatatkan dengan 212 kes baru disahkan.

Pada masa sama kira-kira tiga juta rakyat Malaysia berdegil, tidak mematuhi perintah kawalan pergerakan yang menjadi penyumbang kepada penularan wabak ini.

Berikut perkembangan yang berlaku hari ini yang anda perlu tahu.

08.22 malam: Polis buru 3,800 jemaah tabligh bermula hari ini

Polis Diraja Malaysia hari ini mula memburu baki kira-kira 3,800 jemaah tabligh yang dikenal pasti seluruh negara yang masih belum menjalani ujian saringan COVID-19. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak polis sudah mempunyai senarai nama lengkap jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling di sini, akhir bulan lepas.

08.06 malam: Sarawak peruntuk RM1.15 bilion bantu kurang kesan COVID-19

Sarawak memperuntukkan RM1.15 bilion di bawah ‘Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang’ bagi mengurangkan kesan kelembapan ekonomi dan kesulitan yang dihadapi rakyat akibat wabak COVID-19. Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dana berkenaan akan disalurkan melalui 16 langkah proaktif terutama kepada barisan hadapan, isi rumah dan komuniti perniagaan yang amat memerlukan sokongan ketika ini.

08.05 malam: Agong sedih, bimbang kakitangan kesihatan dijangkiti COVID-19

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sedih berikutan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan petugas fasiliti kesihatan swasta dijangkiti COVID-19. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah sangat bimbang dengan perkembangan tersebut memandangkan mereka merupakan petugas barisan hadapan yang mengorbankan masa serta bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab untuk membendung pandemik itu.

07.18 malam: 132 pelajar tahfiz Masjid Sri Petaling dipindah ke stesen kuarantin

Seramai 132 pelajar tahfiz di Masjid Seri Petaling di sini, dipindahkan ke stesen kuarantin di Institut Sosial Malaysia (ISM) hari ini. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memaklumkan kesemua pelajar menjalani proses nyah cemar yang dilaksanakan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM KL sebelum dipindahkan.

07.11 malam: 16 rakyat Malaysia terkandas di Brazil dalam perjalanan pulang ke tanah air

Sejumlah 16 pelancong rakyat Malaysia yang menaiki kapal persiaran L’Austral menghala ke Antartika akhirnya mampu menarik nafas lega kerana mereka kini dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas beberapa jam terkandas di Pelabuhan Rio de Janeiro, Brazil pada pagi Ahad.

07.11 malam: Sabah sekat perjalanan di sempadan Malaysia-Indonesia mulai hari ini

Kerajaan Sabah memutuskan untuk menyekat semua perjalanan di sempadan Malaysia dan Indonesia sebagai usaha menangani penularan jangkitan COVID-19 di negeri ini berkuat kuasa hari ini. Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong berkata sekatan itu melibatkan perjalanan dari Pulau Sebatik-Tawau-Pulau Sebatik; Serudong-Simanggaris-Serudong; dan Bantul Labang-Pagalungan-Bantul Labang.

07.10 malam: Perkhidmatan feri penumpang, bot laju ke tanah besar Sabah, Sarawak dari Labuan dihentikan

Perkhidmatan pengangkutan awam laut iaitu feri penumpang dan bot laju ke tanah besar Sabah dan Sarawak dari Labuan dihentikan mulai hari ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 31 Mac. Penumpang yang merancang untuk ke Kota Kinabalu, Menumbok dan Sipitang di Sabah serta Limbang dan Lawas di Sarawak melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan diingatkan agar mengikuti pelayaran feri kenderaan (Feri Ro-Ro).

07.00 malam: Prasarana hadkan perkhidmatan pengangkutan awam mulai esok

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan melaksanakan perkhidmatan terhad bagi perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya mulai esok sehingga 31 Mac, selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Prasarana dalam kenyataan hari ini berkata semua perkhidmatan tren Rapid KL merangkumi LRT, MRT dan monorel hanya akan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 pagi dan dari 5 petang hingga 10 malam, mengikut jadual seperti berikut.

06.40 petang: Lebuh raya tidak ditutup, PDRM hanya perketat kawalan

Polis menafikan mesej yang tular di media sosial kononnya badan beruniform itu telah mengarahkan semua lebuh raya di seluruh negara ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari sehingga 31 Mac ini. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pihaknya hanya memperketat kawalan di semua lebuh raya bagi memastikan orang ramai mematuhi PKP yang bermula pada 18 Mac.

06.30 petang: Empat kematian terbaru jadikan keseluruhan 14, 212 kes terbaru

Terdapat empat kes kematian baru berkaitan COVID-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah 14 kes, pada ketika terdapat 212 kes baharu dengan jumlah kes positif 1,518. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-11 merupakan kes ke-1070 melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 70 tahun, yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan dirawat di ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, sebelum disahkan meninggal dunia semalam.

05.40 petang: Pulau Pinang kurangkan kekerapan pengangkutan awam

Sebagai langkah tambahan agar rakyat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan negeri Pulau Pinang memutuskan untuk mengurangkan perkhidmatan bas RapidPenang, termasuk bas percuma CAT, dan kekerapan perkhidmatan feri Pulau Pinang. Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkhidmatan RapidPenang akan dikurangkan sebanyak 70 peratus mulai hari ini.

05.00 petang: 75 peserta ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling dari Johor belum “serah diri”

Terdapat 75 individu dari negeri ini yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, masih belum “menyerah diri’ bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.  Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata jumlah ini turut melibatkan 29 orang warga Bangladesh, 10 Rohingya dan lapan Thailand.

04.50 petang: Dua kakitangan CIMB Cawangan Seremban positif COVID-19

CIMB Group Holdings Bhd cawangan Seremban di Jalan Datuk Bandar Tunggal akan ditutup untuk sementara waktu selepas dua kakitangannya diuji positif COVID-19. Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB berkata kedua-dua kakitangan itu pulang ke Malaysia baru-baru ini dari Indonesia untuk urusan peribadi dan telah menjalani proses kuarantin di rumah sejak 19 Mac lepas, sekembalinya mereka ke Malaysia.

04.50 petang: Kerajaan setuju turunkan harga penutup mulut dan hidung

Kerajaan bersetuju untuk menurunkan harga penutup mulut dan hidung pada satu harga baharu yang akan ditetapkan dalam masa terdekat. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan pihak industri dengan segera bagi tujuan itu.

04.43 petang: Permaisuri Johor hasilkan lukisan tanda terima kasih pada petugas perubatan

‘Kepada doktor, jururawat dan kakitangan di semua hospital dan klinik di Johor. Anda adalah wira kami’. Itu nukilan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris pada sebuah potret lukisan ‘Terima Kasih daripada Ibrahim dan Zarith’ yang dihasilkan baginda.

04.00 petang: KSU, majikan perlu sedia surat kebenaran perjalanan bagi petugas yang bekerja

Semua Ketua Setiausaha di kementerian yang menyediakan perkhidmatan keperluan, perlu mengeluarkan surat kebenaran perjalanan kepada semua kakitangan yang bertugas, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

03.15 petang: Pasar Awam Pulau Pinang akan ditutup jika peniaga tidak patuh arahan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri akan menghentikan pengoperasian pasar awam sekiranya peniaga gagal mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19. Empat pasar awam yang menjadi kawasan tumpuan di bahagian pulau ialah Air itam; Jalan Perak; Bayan Baru; dan Jelutong manakala di Seberang Perai ialah Pasar Awam Kepala Batas; Bagan Ajam; Kampung Baru; Sungai Dua; Taman Selamat; Taman Berjaya; Taman Chai Leng; Penanti; dan Tasek Mutiara.

02.50 petang: PLUS umum lebuh beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan

Semua lebuh raya di bawah kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS), tetap beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini, memandangkan ia adalah laluan kritikal dalam negara. Perkhidmatan kritikal lebuh raya seperti PLUSRonda dan talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 juga beroperasi 24 jam sepanjang tempoh itu, menurut PLUS dalam kenyataan hari ini.

01.48 tengah hari: Pencarum KWSP boleh keluarkan RM500 untuk 12 bulan

Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun dibenar membuat pengeluaran dari Akaun 2 masing-masing bermula 1 April depan bagi meringankan beban mereka ketika menghadapi cabaran COVID-19.

01.46 tengah hari: Peruntukan RM130 Juta untuk bantu kerajaan negeri tangani krisis

Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan peruntukan berjumlah RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri menangani krisis COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

01.37 tengah hari: Azis Jamman sumbang gaji Ahli Parlimen, bantu rakyat terjejas

Wakil rakyat Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman, akan menyumbangkan gajinya sebagai Ahli Parlimen pada bulan ini dan bulan seterusnya, selagi Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, bagi membantu rakyat di kawasannya yang terjejas sepanjang tempoh itu.

01.43 tengah hari: RM600 juta untuk Kementerian Kesihatan tangani COVID-19

Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani COVID-19 dan membiayai pengambilan kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan RM500 juta akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU), peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.

01.18 tengah hari: 16 rakyat Malaysia yang terkandas di Brazil berharap dapat pulang

Impian 16 pelancong Malaysia untuk menikmati percutian di atas kapal persiaran selama 16 hari ke Antartika tidak kesampaian, apabila kapal berkenaan terkandas di Pelabuhan Rio de Janeiro, Brazil pada pagi Ahad. Kumpulan itu, bersama-sama 325 penumpang terdiri daripada pelbagai kerakyatan, terkandas di Lautan Atlantik Selatan selepas kapal persiaran itu yang berlayar dari pelabuhan Ushuaia, Argentina pada 28 Feb gagal berlabuh di Montevideo, Uruguay pada 13 Mac setelah negara itu mengumumkan sekatan perjalanan keluar atau masuk bagi membendung penularan wabak COVID-19.

01.00 tengah hari: Empat terminal feri dihentikan operasi sementara

Empat terminal feri di Johor dihentikan operasi buat sementara waktu selama 10 hari bermula Sabtu lepas (21 Mac) berikutan penutupan akses masuk selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Rabu. Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan dalam satu kenyataan berkata terminal terbabit adalah  Terminal Feri Penumpang Muar, Terminal Feri Minyak Beku Batu Pahat, Terminal Feri Tanjung Pengelih dan Terminal Feri Tanjung Belungkor.

12.50 tengah hari: Kedai makan, stesen minyak di Perak beroperasi  pukul 7 pagi hingga 7 malam

Semua premis kedai makan termasuk yang menyediakan perkhidmatan pandu lalu di seluruh Perak diarah beroperasi mulai 7.00 pagi hingga 7.00 malam sahaja bermula hari ini bagi mengekang penularan COVID-19.

12.30 tengah hari: Johor umum operasi premis perniagaan dipendekkan

Kerajaan negeri Johor mengumumkan tempoh operasi premis perniagaan dipendekkan mulai hari ini bermula 7.00 pagi sehingga 7.00 malam bagi membantu kelancaraan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung wabak COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata justeru itu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu membuat ketetapan tempoh operasi perniagaan di kawasan masing-masing.

12.20 tengah hari: Satu lagi kematian dicatatkan, 11 jumlah kumulatif kes kematian

Satu lagi kematian akibat COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia sehingga kini akibat wabak itu di Malaysia adalah 11 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Menerusi catatan laman Facebook rasmi beliau, kes kematian ke-11 itu (kes ke-1070) merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun, dengan latar belakang penyakit kronik.

11.30 pagi: ATM akan guna dron dan UAV pantau Perintah Kawalan Pergerakan

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggunakan teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sebagai usaha membendung wabak COVID-19. Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata perkara tersebut telah dibincangkan dengan industri tempatan bagi meningkatkan jumlah alatan teknologi yang akan diguna pakai.

09.40 pagi: Lima anggota polis di Sabah dikuarantin

Lima anggota polis termasuk dua pegawai berpangkat inspektor dikuarantin di rumah masing-masing selepas berurusan dengan seorang lelaki yang telah dijangkiti COVID-19 di Balai Ranau, baru-baru ini. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata kelima-lima anggota polis berkenaan telah diarahkan untuk menjalani saringan kesihatan di Hospital Ranau dua hari lalu.

07.40 pagi: Kakitangan HTI positif COVID-19

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan terdapat beberapa kakitangan perubatan Hospital Teluk Intan (HTI) positif COVID-19. Tanpa menyatakan jumlah kakitangan yang positif wabak itu, Dr Noor Hisham berkata langkah-langkah keselamatan dan pencegahan telah diambil dengan segera serta pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan di HTI.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button