COVID-19 – Hikmah di balik kesempitan
Oleh: Dato’ Sri Ti Lian Ker
“It’s figuring us out faster than we’re figuring it out!” ujar watak Dr. Alex Hextall, seorang pakar virus menerusi filem Contagion pada 2011 yang mengisahkan bagaimana seorang wanita dijangkiti virus MEV-1 telah menyebabkan jangkitan pada skala besar sehingga mengakibatkan banyak negara diletakkan dalam situasi kuarantin.
Petikan dialog ini juga mirip menggambarkan betapa pantasnya penularan wabak COVID-19 melanda dunia sehingga menghumban kita ke satu situasi yang tidak terjangkau pun oleh fikiran kita.
Realitinya, tiada siapa yang menyangka kita bakal berhadapan krisis terburuk negara pada era pasca kemerdekaan. Malah tiada siapa juga menduga pada tahun yang dinantikan seluruh isi Malaysia sejak Perdana Menteri keempat mengisytiharkan Wawasan 2020, 29 tahun yang lalu, akhirnya kita berkurung di rumah seperti hari ini.
Penularan pandemik wabak COVID-19 ini bukanlah sesuatu yang mudah buat kita semua. Saya memuji langkah kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau “Restricted Movement Order” sejak 18 Mac lalu, bagi bertujuan mengawal penyebaran wabak serta memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang seterusnya dapat meratakan lengkungan penularan wabak ini.
Tidak dinafikan, segenap lapisan masyarakat kita terkesan dek penangan PKP yang berlanjutan dari 14 hari sehingga empat minggu sekarang. Namun apa yang lebih membimbangkan, PKP ini bakal mencetuskan impak secara jangka panjang terhadap sosial dan juga kesan psikologikal terhadap sebilangan rakyat Malaysia.
Statistik mengenai kesan psikologikal ini telah pun dilakukan di China dengan kajian atas talian melibatkan seramai 1,210 responden dari 194 bandar di China itu mendapati, sebanyak 16.5% responden dilapor mengalami gejala kemurungan, 28.8% mempunyai gejala gemuruh, 8.1% melaporkan berada dalam keadaan stress, dengan 53.8% keseluruhan responden mengklasifikasikan impak psikologikal yang dihidapi mereka pada skala sederhana sehingga teruk.
84.7% responden kajian terbabit juga mengakui mereka menghabiskan sekitar 20-24 jam setiap hari di rumah dan hampir 75.2% responden menyatakan kebimbangan mereka terhadap ahli keluarga lain yang dijangkiti wabak.
Selama tidak kurang dari empat minggu, kita dibiasa dengan amalan penjarakan sosial atau “social distancing” yang menjurus kepada aktiviti pengasingan diri dari masyarakat. Malah tidak hairan jika penularan wabak COVID-19 ini telah berakhir sekalipun nanti, kesan psikologi seperti emosi bersifat risau, takut, bimbang dan cemas akan terus membelenggu kita untuk bergaul di dalam kelompok masyarakat.
Oleh yang demikian, tindakan proaktif melalui pendidikan kesihatan serta pengurusan tekanan dan emosi yang lebih baik untuk mencegah impak psikologi sangat diperlukan bagi jangka masa panjang. Dan untuk itu, adalah penting pertamanya kita menarik nafas bertenang dan mengadaptasi tempoh PKP ini dengan mencoraknya ke satu dimensi yang lebih positif dalam kehidupan seharian dan memahami hikmah disebalik.
Penguatkuasaan PKP ini membuka mata kita untuk bersikap lebih prihatin dengan keadaan sekeliling dan tidak mengambil mudah tentang semua perkara. Dalam erti kata lain, PKP menjadikan kita lebih beretika bagi meningkatkan kebersihan serta kesihatan diri dan keluarga.
Di satu sudut pandang yang lain, hikmah PKP telah mengembalikan masa berkualiti yang hilang bersama ahli keluarga. Si suami boleh kembali membantu isteri di rumah, anak-anak akhirnya mendapat perhatian ibubapanya, dan orang tua juga pastinya dapat mengubati kerinduan bersama anak cucu mereka.
PKP dalam masa sama, telah membentuk semula norma masyarakat yang kian beransur hilang. Berbekalkan peranti mudah alih dan perkhidmatan media sosial seperti Whatsapp, Facebook, Twitter dan sebagainya, sebilangan ahli masyarakat kini kembali menjadi manusia normal dengan bertanya khabar sesama ahli keluarga, rakan-rakan mahupun jiran tetangga mereka. Kerukunan dalam institusi kemasyarakatan merupakan suntikan yang diperlukan untuk kita menempuhi detik mencabar seperti sekarang.
PKP adalah waktu untuk kita bersatu hati dan bukan masa untuk berpolitik oleh mana-mana pihak. Melalui PKP juga, ini adalah masa untuk seluruh masyarakat merentasi kaum dan agama, mengukuhkan panji perpaduan, mengekspresikan rasa empati dengan penzahiran rasa hormat kepada barisan terhadapan negara yang berjuang memerangi wabak COVID-19.
Kita berterima kasih kepada para doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan kepada mereka yang dijangkiti.
Kita berterima kasih kepada pihak polis dan tentera yang berpanas hujan siang dan malam mengawal pergerakan di jalanan.
Kita berterima kasih kepada para penghantar makanan seperti FoodPanda, GrabFood, Bungkusit dan sebagainya yang bermandi peluh bagi memastikan kita tidak keputusan makanan.
Kita berterima kasih kepada para wartawan yang ke hulu dan ke hilir bagi memastikan setiap rakyat mendapat infomasi yang tepat mengenai situasi semasa.
Kita berterima kasih kepada seluruh pekerja di sektor perkhidmatan penting atau “essential services” negara dari Perlis hingga ke Sabah yang terpaksa merisikokan keselamatan mereka demi keperluan serta kepentingan sejagat.
Dan, pada akhirnya kita berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama dengan akur pada arahan kerajaan serta hanya #DudukRumah dan kekal tenang bagi memastikan kita benar-benar berjaya memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 ini.
Walaupun terdapat segelintir yang masih ingkar, kita mengharapkan semoga terbit keinsafan di lubuk hati mereka selepas ini.
Kita tidak boleh tewas dalam peperangan ini dan berbekalkan nilai kemanusiaan – sarat dengan rasa tanggungjawab beserta kesatuan hati merupakan azimat terkuat seluruh rakyat Malaysia untuk menewaskan musuh yang tidak kelihatan ini.