Sukan

COVID-19: BWF batalkan Terbuka Switzerland, Kejuaraan Eropah 2020

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) mengumumkan pembatalan dua kejohanan badminton iaitu Terbuka Switzerland dan Kejuaraan Eropah 2020.

Kedua-dua kejohanan itu sebelum ini diletakkan sebagai ‘ditangguhkan’ sehingga tarikh yang bersesuaian. Bagaimanapun BWF semalam mengumumkan pembatalannya.

Terbuka Switzerland, acara Super 300 dalam Jelajah Dunia BWF dijadualkan berlangsung pada 17-22 Mac sementara Kejuaraan Eropah di Kyiv, Ukraine, dijadualkan pada 21-26 April sebelum BWF menangguhkan semua kejohanan akibat pandemik COVID- 19.

“BWF dalam rundingan dan mendapat kata sepakat dengan Swiss Badminton serta penganjur kejohanan untuk memutuskan adalah tidak wajar menganjurkan kejohanan berkenaan pada tarikh lain dalam tahun 2020.

“Badminton Europe dan Persekutuan Badminton Ukraine (UBF) juga bersetuju bahawa langkah terbaik adalah membatalkan Kejuaraan Eropah 2020.

“UBF telah bersetuju untuk menjadi tuan rumah edisi 2021 dan akan diadakan di ibu kota Ukraine dari 27 April hingga 2 Mei 2021,” kata badan induk badminton dunia itu dalam satu kenyataannya hari ini.

Lima hari lalu, BWF mengumumkan pembatalan tiga kejohanan iaitu Terbuka Australia 2020 (2-7 Jun), Terbuka Hyderabad (11-16 Ogos) dan Masters Korea (24-29 Nov).

Menurut kalendar kejohanan BWF 2020 yang dikemas kini, Masters China dijadualkan semula pada 25-30 Ogos di Sanya.

Itu mungkin menjadi acara badminton antarabangsa pertama selepas kejohanan Seluruh England pada Mac kerana sebahagian besar kejohanan masih ditangguh, ditunda atau dibatalkan. – SUMBER ASTRO AWANI -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button