Nasional

Coronavirus: Petugas hotel, pelancong panik

TIBA-TIBA petugas di kaunter menjadi panik. Para pelancong dari China yang ramai berada di kaunter untuk mendaftar masuk juga menjadi keliru.

Petugas hotel berkenaan menjadi panik kerana para pelancong dari China tidak memakai topeng dan dia mula ketakutan kerana bimbang dijangkiti penyakit coronavirus yang kini dikesan dibawa ke negara ini oleh pelancong dari Wuhan China.

Pelancong yang baru tiba di negara ini pula tidak memahami bahasa Inggeris menyebabkan mereka terpinga-pinga.

Mereka sendiri tidak menyangka begitu takutnya penduduk setempat dengan pelancong China pada masa ini.

Walaupun penyakit berkenaan mula dikesan di Wuhan dan wilayah tersebut telah mengumumkan perintah berkurung bagi mengelakkan penyakit tersebut merebak kerana telah meragut puluhan nyawa, tetapi bagi rakyat tempatan menjadi panik.

Bagaimana mereka hendak mengenal pasti pelancong berkenaan datang wilayah mana di China dan bebas daripada jangkitan virus berbahaya itu.

Bagi pelancong tempatan pula setiap kali menaiki lif dan terdapat pelancong asing khususnya dari China mereka mula merasa bimbang.

Ada yang mengambil keputusan untuk berkurung di dalam bilik hotel sahaja daripada keluar ke tempat menjadi tumpuan orang ramai kerana bimbang dengan situasi semasa.

Walaupun cuti Tahun Baru Cina kali ini panjang, tetapi ia menjadi suram kerana ramai yang khuatir dengan wabak yang dikesan dalam kalangan pelancong dari Wuhan yang memasuki negara ini.

Kebanjiran pelancong China ke negara ini berikutan tindakan kerajaan mengecualikan visa bagi pelancong China sempena Tahun Melawat Malaysia.

Ramai yang mendesak kerajaan supaya menggantung sementara pengecualian itu demi memastikan keselamatan rakyat negara ini.

Presiden Majlis Pemikir Melayu Muda Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohamad Faiz Azemmant berkata, langkah itu penting kerana jangan nanti apabila sudah terhantuk baru terngadah.

“Negara bukan sahaja dikejutkan dengan penularan virus Influenza A, tetapi kini koronavirus. Jika dilihat situasi yang berlaku di Wuhan ketika ini, ia begitu buruk sekali sehingga kira-kira 11 juta penduduk di situ tidak dibenarkan keluar atau meninggalkan daerah berkenaan buat sementara waktu bagi membendung penularan virus itu.

“Di Malaysia, empat kes koronavirus telah dilaporkan melibatkan warga China. Adakah apabila ramai rakyat negara ini dijangkiti virus itu baru kerajaan mahu bertindak tegas seperti menyekat sementara kemasukan pelancong dari China ke negara ini?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penyebaran virus yang bermula dari China itu menyebabkan masyarakat seluruh dunia panik seterusnya diselubungi kebimbangan dengan kesihatan diri dan orang tersayang.

Setakat Ahad, jumlah kematian akibat koronavirus meningkat kepada 54 orang dengan 13 kematian baru dan 323 kes baru disahkan.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif virus 2019-nCoV di China sebanyak 1,610 orang.

Syed Mohamad Faiz berkata, dalam situasi yang berlaku di China ketika ini, negara akan mudah terdedah kepada ancaman penyakit berjangkit antarabangsa jika terus membuka pintu masuk kepada pelancong dan pekerja asing.

Sehubungan itu katanya, MPMMK berpendapat kerajaan perlu menyekat sementara kemasukan pelancong dari China termasuk menarik balik buat sementara pengecualian visa selama 15 hari kepada pelancong dari China yang diberikan bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2020.

“Dalam keadaan yang berlaku di China ketika ini, yang mana perlu menjadi keutamaan kerajaan, adakah kepentingan rakyat atau kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020),” soalnya.

Beliau berkata, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pada 22 Januari lalu memaklumkan, pelancong khususnya dari China tidak seharusnya menjadi mangsa diskriminasi walaupun negara itu kini berhadapan penularan wabak koronavirus.

“Menurut menteri berkenaan, pelancong yang masuk ke negara ini akan disaring terlebih dahulu di pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang.

“Apa jaminan tidak akan ada pelancong yang terlepas masuk tanpa saringan? Buktinya sudah ada pun kes koronavirus melibatkan warga China di negara ini, adakah langkah itu berkesan,” soalnya.

Menurutnya, tindakan pencegahan lebih baik daripada merawat bagi memastikan penularan virus itu tidak menjadi parah, ia dilakukan demi keselamatan dan kesihatan rakyat negara ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button