
China senarai 11 firma AS tidak boleh dipercayai
BEIJING: China menambah 11 firma Amerika Syarikat (AS) termasuk Skydio dan BRINC Drones, ke dalam senarai entiti tidak boleh dipercayai, umum Kementerian Perdagangan negara itu pada Jumaat, lapor Xinhua.
Kesemua syarikat itu tanpa menghiraukan bantahan kuat dari China menjalankan apa yang dipanggil kerjasama teknologi ketenteraan dengan Taiwan, yang secara serius menjejaskan kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan pembangunan China, kata jurucakap Kementerian Perdagangan dalam satu kenyataan.
China mempertanggungjawabkan 11 firma itu atas aktiviti haram mereka, mengikut undang-undang dan peraturan yang berkaitan, menurut kenyataan itu.
China sentiasa mengendalikan isu yang berkaitan dengan senarai entiti tidak boleh dipercayainya dengan berhati-hati dan hanya menyasarkan sebilangan kecil entiti asing yang menjejaskan keselamatan negara China, kata jurucakap itu.
“Tiada apa yang perlu dibimbangkan untuk entiti asing yang jujur dan mematuhi undang-undang,” kata jurucakap itu.
Menurutnya, Kerajaan China, seperti kelaziman, mengalu-alukan syarikat dari semua negara untuk melabur dan beroperasi di China dan komited untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang stabil, adil dan boleh diramal untuk perusahaan asing yang beroperasi mengikut undang-undang dan peraturan.
— BERNAMA