Cerita pertemuan di rumah Dr. Mahathir versi Akhramsyah
EKORAN tersebarnya sekeping gambar pertemuan Dr. Mahathir dengan enam pemimpin parti politik di rumahnya di Mines pada 23 Februari, timbul pelbagai cerita mengenainya.
Pada mulanya gambar itu dikaitkan dengan pertemuan pemimpin terbabit untuk menyokong Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri di bawah kerajaan Pakatan Nasional.
Yang ada dalam gambar itu ialah Dr. Mahathir yang duduk bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi GPS, Datu Patinggi Abang Johari Openg; Ketua whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Preside Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pada pertemuan itu Dr. Mahathir dikatakan telah ditunjukkan akuan bersumpah 131 Ahli Parlimen yang akan menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.
Pada awalnya, gambar itu dikatakan langkah awal yang membawa kepada penubuhan kerajaan Pakatan Nasional (PN).
Bagaimanapun pegawai Dr. Mahathir, Adam Mukhriz memberikan cerita berbeza bahawa pada pertemuan itu Ahmd Zahid menunjukkan apa yang didakwa sebagai bukti beliau tidak bersalah.
Namun hari ini, anggota Majlis Perwakilan Tertinggi (MPT) Bersatu, Akhramsyah Sanusi memberikan cerita yang berbeza.
Memetik laporan Malaysiakini, Akhramsyah berkata, pertemuan itu diatur oleh Muhyiddin setelah gagal meyakinkan bekas perdana menteri itu untuk keluar daripada PH pada mesyuarat parti sebelumnya.
“Selepas mesyuarat (Bersatu), Muhyiddin kemudian membuat kejutan kepada Tun dengan memaklumkan kepadanya bahawa pemimpin parti-parti Melayu sedang menunggu Tun di rumahnya.
“Saya difahamkan setelah 6 jam perjumpaan di HQ Bersatu di mana dia gagal meyakinkan Tun untuk meninggalkan PH, Muhyiddin dengan Zahid, Hadi dan yang lain gagal meyakinkan Tun di rumahnya walaupun setelah hampir dua jam berbincang.
“Mereka beredar kerana anggap mereka akan berjaya dan membuat janji temu untuk bertemu dengan Agong. Kami tidak tahu apa yang mereka maklumkan kepada Agong,” kata Akhramsyah kepada Malaysiakini.
Menurut Akhramsyah, Muhyiddin bersama pemimpin yang lain itu meneruskan agenda mereka yang dikatakan sebagau ‘Langkah Sheraton’, tetapi Dr. Mahathir tidak menyertai mereka.
Malah kata beliau, Dr. Mahathir tidur lebih awal sekitar pukul 10 malam, dan perkara itu diketahuinya ketika berusaha meyakinkan para pemimpin PH bahawa Mahathir tidak terlibat dalam rancangan itu.
Keesokan harinya kata beliau, Dr. Mahathir memutuskan mengundur diri apabila melihat Muhyiddin dan pemimpin Bersatu lain mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memutuskan apakah parti itu harus keluar daripada PH.
“Tun tidak merancang ini. Tun tidak memberikan restu.Tun menentang idea ini untuk meninggalkan PH tanpa termakan hasutan sejak awal,” kata Akramsyah.