CEO GISBH antara 24 yang disambung reman
POLIS mendapatkan lanjutan tempoh reman terhadap Pengerusi Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan isterinya selama empat hari lagi.
Lanjutan reman itu itu turut membabitkan 22 lagi pemimpin tertinggi organisasi itu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua suspek dianggarkan berusia 25 hingga 65 tahun.
Ini susulan daripada reman tujuh hari dikenakan kepada mereka bermula 19 September lalu tamat hari ini. Pada prosiding itu, kesemua suspek itu diwakili Peguam Rosli Kamaruddin.
Terdahulu, mereka hadir ke mahkamah kira-kira pukul 9.20 pagi dengan dikawal ketat anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Sebelum ini, seramai 19 individu ditahan di empat unit kondominium di Jalan Imbi, Bukit Bintang dekat sini kira-kira pukul 5.40 pagi pada Khamis lalu.
Manakala lima lagi termasuk seorang difahamkan merupakan anak kepada pemimpin utama syarikat terbabit ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira pukul 6 petang, 18 September lalu dengan reman mereka juga tamat hari ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.