Sukan

Cabaran Hafizh memacu jentera NTS

BUKAN mudah sebenarnya buat Hafizh Syahrin Abdullah untuk memacu motosikal buatan Jepun, NTS yang baru setahun jagung dalam perlumbaan kejuaraan motosikal dunia bagi kelas Moto2.
Dalam perlumbaan pembukaan tirai yang berlangsung di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, semalam, Hafizh bergelut untuk memecut laju jenteranya itu.
Pada Grand Prix Qatar yang merupakan aksi sulung, musim ini, pelumba NTS RW Racing GP itu gagal melengkapkan saingan pusingan pertama apabila Hafizh terpaksa berdepan isu teknikal jenteranya.
Dalam kenyataannya kepada media selepas berakhir perlumbaan, Hafizh mengakui dia terpaksa mengharungi hari yang sukar bagi memastikan jenteranya kekal kompetitif.
“Hari ini (semalam) amat sukar untuk saya. Sejak daripada awal perlumbaan lagi saya bergelut dengan kestabilan motosikal di bahagian kiri jentera.
“Sewaktu perlumbaan sudah berada pada separuh jalan saya tidak dapat meneruskan saingan ekoran isu teknikal,” katanya.
Pelumba kelahiran Selangor itu berkata, dia kecewa dengan prestasi jentera, tetapi mujurlah suasana dalam pasukan sangat baik dan mereka bekerja keras untuk melakukan peningkatan pada motosikal.
Jelas Hafizh, dia dan krew akan berusaha untuk lebih memahami jentera menjelang perlumbaan pusingan kedua, hujung minggu ini.
“Buat masa sekarang, saya mohon maaf kepada penaja dan para peminat. Minggu depan (hujung minggu ini) pada GP Doha, kami akan cuba mendapatkan keputusan yang lebih baik,” ujarnya.
Kegagalan tersebut menyaksikan Hafizh gagal mengutip sebarang mata untuk perlumbaan pembukaan musim yang berlangsung pada sebelah malam itu dan Grand Prix Doha yang turut diadakan di litar sama diharap dapat menjadi medan buat Hafizh bagi menebus kehampaannya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button