Bursa Malaysia dibuka lemah dalam sesi dagangan awal
Bursa Malaysia menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan dalam sesi dagangan awal hari ini berikutan sentimen yang lemah kerana lonjakkan kes baru Covid-19 tertinggi di Malaysia semalam.
Pada jam 9.07 pagi, penanda aras FBM KLCI turun 1.66 mata kepada 1,578.86 dari penutupan semalam pada 1,580.52. Indeks dibuka 2.67 mata pada 1,577.85.
Bursa Malaysia merekodkan saham rugi mengatasi kaunter untung 262 hingga 166, sementara 252 kaunter tidak berubah, 1,525 tidak diniagakan.
Jumlah dagangan yang direkodkan berjumlah 380.36 juta bernilai RM228.29 juta.
Ringgit juga dibuka rendah berbanding dolar AS pada pembukaan hari ini kesan dari keputusan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), yang menunjukkan bahawa ekonomi AS meningkat pesat dan berpotensi kepada dasar monetari Amerika Syarikat yang lebih ketat.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1410 berbanding dolar AS dari penutupan Rabu pada 4.1360.
Ringgit naik berbanding Dolar Singapura kepada 3.1037 dari 3.1039 semalam, sedikit lebih tinggi berbanding Pound Britain pada 5.8463 dari 5.8586 dan naik berbanding Euro kepada 5.0442 dari 5.0496.
Namun, ringgit turun berbanding Yen kepada 3.7925 daripada 3.7882. – SM