Bunga, kucing penenang di kala PKP
SEJAK dunia diselubungi pandemik Covid-19 lebih setahun lalu, penduduk planet ini terpaksa melupakan pelbagai hal yang menjadi rutin dan kegemaran harian mereka.
Kebanyakan negara melaksanakan beberapa kali perintah berkurung bagi memutuskan rantaian wabak yang tidak menunjukkan akan reda dalam masa terdekat ini.
Begitu jugalah pemain golf yang terpaksa melupakan terus minat berkenaan, kerana di negara ini sukan berkenaan kini tidak dibenarkan berlangsung.
Jika sebelum ini dibenarkan bermain golf dengan langkah pencegahan yang ketat, tetapi semua kelab golf ditutup terus.
Jadi kini selain memilih berjoging dan berbasikal bagi mengekalkan kesihatan badan, ramai juga memilih kucing dan bunga untuk meredakan ketegangan emosi dan mental.
Ketidaktentuan masa hadapan menyebabkan semua orang resah jadi ada yang mula memelihara kucing dan membeli bunga-bungaan segar dan pokok bunga bagi terapi meredakan emosi yang tidak menentu.
Jika dilihat di media sosial ramai yang membuat hantaran tentang kucing masing-masing dan di kedai-kedai menjual pokok bunga menjadi tumpuan orang ramai.
Ada yang sanggup menghabiskan sejumlah besar duit untuk membina taman di kawasan rumah tidak kira yang tinggal rumah biasa atau di kondominium.
Setidak-tidaknya mereka mencuba mewujudkan taman, kerana taman-taman awam kini ditutup kepada orang ramai.
Aktiviti riadah seperti mendaki dan seumpamanya tidak dapat dilaksanakan.
Oleh itu manusia yang berminat dengan alam cuba mencipta senario itu di sekeliling mereka, kerana alam memberi ketenangan.
Selain berjemur pada sebelah pagi memberi kesihatan dan meningkatkan imunisasi badan melawan penyakit, ia juga menenangkan jiwa.
Kita kini fobia dengan manusia lain, tetapi haiwan kesayangan pula menjadi peneman setia dan menenangkan.