Bung Mokhtar, Zizie Izette perlu bela diri kes rasuah
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Serin Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, telah diarah membela diri atas tuduhan rasuah dan bersubahat terhadap pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan.
Hakim Zaini yang membaca alasan luas keputusan sebulat suara yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, berkata permohonan semakan yang difailkan pasangan itu di Mahkamah Tinggi adalah sama dengan memfailkan rayuan.
“Ia adalah permohonan interlokutori yang bertopengkan sebagai rayuan,” kata Zaini, sambil menambah bahawa permohonan sedemikian adalah gangguan kepada proses perbicaraan.
“Kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan. Keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan dan keputusan mahkamah sesyen dipulihkan,” katanya.
Bung Mokhtar, pengerusi bukan eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Dia didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Norhaili Madhi melalui Zizie di cawangan Public Bank Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Dia juga didakwa menerima suapan RM337,500 daripada Norhaili atas nama Zizie di lokasi sama pada 19 Jun 2015.
Zizie menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam melakukan kesalahan yang didakwa.