Ekonomi

BRIEF-i lulus RM33.17 Juta dalam tempoh empat bulan

Pembiayaan sebanyak RM33.17 juta telah diluluskan Bank Rakyat menerusi program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dalam tempoh empat bulan sejak Jun lalu bagi menyokong perniagaan komuniti usahawan India.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, program pembiayaan yang memperuntukkan dana keseluruhan berjumlah RM50 juta itu sehingga kini telah memberi manfaat kepada seramai 384 usahawan daripada pelbagai sektor sejak dilancarkan pertengahan tahun ini.

YB Dato’ Sri Ramanan yang berucap semasa Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Deepavali berkata, setakat 14 Oktober 2024, BRIEF-i telah pun meluluskan pembiayaan sebanyak RM33.17 juta kepada seramai 384 usahawan India di seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai sektor termasuk pengangkutan, perkhidmatan, peruncitan, makanan dan minuman serta pelbagai sektor lain.

Beliau turut menekankan bahawa kemajuan dalam sektor keusahawanan merupakan antara intipati pelaburan terpenting bagi pembangunan ekonomi negara dan golongan usahawan bukan sahaja penyedia peluang pekerjaan tetapi juga pemacu inovasi kepada pertumbuhan pelbagai bidang dan industri.

Justeru, beliau berkata, untuk mencapai pertumbuhan ini, kerjasama yang erat antara Kerajaan dengan institusi kewangan seperti Bank Rakyat adalah amat signifikan bagi membantu para usahawan mencapai matlamat perniagaan mereka.

“Dalam usaha membangunkan ekosistem keusahawanan yang inklusif dan dinamik, perhatian perlu diberikan kepada setiap lapisan masyarakat. Saya pasti dengan kelangsungan program pembiayaan seperti BRIEF-i, Kerajaan dapat memastikan bahawa lebih ramai usahawan India mampu mengakses dana yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan mereka, sekali gus memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat India,” tambah YB Dato’ Sri Ramanan.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak pula berkata, Institusi Kewangan Pembangunan berkenaan sentiasa komited dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata dalam mengakses kemudahan kewangan yang diperlukan serta sentiasa tampil ke hadapan sebagai salah satu peneraju dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang inklusif dan progresif seiring dengan konsep Malaysia Madani.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Bank Rakyat dan QR2E (Quick Response to Entrepreneurs) di www.bankrakyat.com.my dan https://qr2e.bankrakyat.com.my serta mengunjungi mana-mana Pusat Perbankan Perniagaan Bank Rakyat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button