Ekonomi

BPMB, MGTC jalin kerjasama menerusi pembiayaan teknologi hijau di Malaysia

Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) hari ini memeterai Memorandum Kerjasama dengan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) bagi penyediaan pembiayaan teknologi hijau di Malaysia dalam rangka pembangunan negara.

Jalinan strategik ini membolehkan BPMB memainkan peranan penting dalam mendorong penggunaan kemampanan dengan mengintegrasikan Sistem Operasi Karbon Rendah (LCOS) MGTC ke dalam operasi BPMB, dengan tujuan meningkatkan prestasi  Kemampanan.

LCOS akan menyokong usaha BPMB dalam menguruskan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam operasinya, sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk membangunkan ekonomi rendah karbon yang berdaya tahan bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Dalam suatu majlis bagi merasmikan kerjasama ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab, telah bertukar Memorandum Kerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor, sambil disaksikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad. \

Dengan termetrainya  Memorandum Kerjasama ini, BPMB menjadi salah sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang terawal di Malaysia yang mengintegrasikan LCOS dalam operasinya serta bagi memanfaatkan para pelanggannya.

Nik Nazmi berkata, “Kerajaan memuji usaha BPMB dalam mengintegrasikan LCOS sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk menguruskan pelepasan GHG. Kemampanan merupakan usaha kolektif yang memerlukan pendekatan holistik keseluruhan negara.

“Kerjasama ini akan menyokong pembangunan yang bertanggungjawab dan membantu kami menuju ke arah peralihan yang adil.”

Roni pula berkata, “Kerjasama kami dengan MGTC akan meningkatkan lagi kapasiti dan keupayaan BPMB untuk mengenal pasti dan memberi keutamaan kepada projek- projek yang memberi impak. Kami adalah rakan kongsi dalam perjalanan pembangunan Malaysia dan kami komited untuk menyokong Rancangan Malaysia Ke-12 Kerajaan yang berpandukan prinsip kemampanan ekonomi, sosial, dan alam sekitar, untuk menjadikan Malaysia sebagai negara karbon neutral menjelang tahun 2050.”

“Di BPMB, kami menilai semua aktiviti pembiayaan kami dengan menggunakan rangka kerja penilaian dalaman kami yang diberi nama Mengukur Kesan Terhadap Pembangunan Negara (MIND) untuk menyokong pembangunan mampan. MIND memastikan semua pembiayaan kami memberikan impak sosial, ekonomi, dan alam sekitar, yang juga selari dengan objektif Malaysia MADANI. Kerjasama ini akan melengkapkan usaha kami untuk meningkatkan lagi rangka kerja MIND kami pada masa hadapan,” tambah beliau.

Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, “Setiap syarikat harus mempunyai kaedah untuk mengukur kesannya terhadap perubahan iklim dan menyumbang kepada masa depan Sifar Bersih. LCOS selaras dengan piawaian yang diiktiraf secara global dan boleh diakses oleh syarikat-syarikat dalam pelbagai sektor, termasuk pelanggan yang sedang beralih. Platform ini bertujuan untuk menggalakkan kesedaran dan mendidik mereka tentang pelepasan karbon. Ia membimbing pengguna dalam menetapkan sasaran yang sejajar dengan inisiatif sasaran berasaskan sains, membolehkan mereka mengusahakan strategi pengurangan untuk mengurangkan pelepasan karbon mereka di seluruh operasi perniagaan.”

“Selain daripada menguruskan pelepasan GHG untuk perniagaan dan operasi BPMB menggunakan LCOS, kerjasama ini juga memungkinkan bank berkenaan untuk memanfaatkan kepakaran MGTC dalam teknologi hijau melalui pemindahan pengetahuan dan mempromosikan rujukan silang antara kedua-dua pihak untuk menggalakkan penggunaan dan pembiayaan teknologi hijau.

“Sebagai DFI ulung yang bertanggungjawab untuk menyediakan modal impak untuk pembangunan negara sepanjang 50 tahun yang lampau, BPMB terus komited untuk menyokong inisiatif Kerajaan dalam pembangunan industri strategik dan berimpak tinggi, usaha pendigitalan, serta penyediaan infrastruktur sosial untuk Rakyat,” katanya

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button