JenayahNasionalNegeri

Bot kelas C ditahan langgar syarat lesen

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis telah menahan sebuah Bot Nelayan Tempatan (BNT) Kelas C  di kedudukan 1.97 batu nautika dari barat daya Pulau Timun, Langkawi malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot ini disyaki telah melanggar syarat lesen.

Sebahagian rampasan semasa penahanan Bot Kelas C. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Katanya, bot ini ditahan semasa pihak bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis melakukan rondaan Op Aman / Op Tiris 2.0 di sekitar perairan Perlis.

“Sebaik usaha merapat pada bot berkenaan, ia didapati dalam keadaan yang mencurigakan,” katanya dalam kenyataan media.

Mohd Hashim berkata, hasil pemeriksaan, bot terbabit berpengkalan di Pulau Langkawi.

Katanya, ia dikemudikan oleh seorang tekong dan tiga awak-awak warga tempatan berumur antara 49 hingga 59 tahun.

Jelas beliau lagi, bot dan pukat dianggarkan bernilai lebih RM100,000 bersama-sama empat Orang Yang DiSyaki dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) iaitu mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan dengan melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel itu.

Bot kelas C yang ditahan kerana langgar syarat lesen. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian MERS 999. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button