Bini kedua Sanusi pegawai polis
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengakui beliau sudah bernikah dengan seorang wanita yang merupakan pegawai polis dan ibu tunggal.
Menurut laporan dari Utusan pernikahan itu dilakukan secara teratur termasuk majlis peminangan yang dilakukan sendiri oleh isteri pertamanya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.
Ujarnya isteri dan kesemua anak-anaknya turut menghadiri majlis perkahwinan itu yang diadakan secara kecil-kecilan melibatkan ahli keluarga terdekat mereka.
“Saya ada kuota dua lagi. Saya berkahwin dengan anggota polis berstatus ibu tunggal seorang anak, isteri saya pergi meminang berbulan-bulan dulu dah. Alhamdulillah sempurna, teratur dan beres.
“Semua proses yang kena buat untuk bernikah dipatuhi. Jadi tak ada apa-apa isu. Dia bukan penyiasat kes Unsur Nadir Bumi (REE) tapi dia penyiasat kes bom di Kediaman Rasmi Menteri Besar sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Geran Tanah di sini.
Menurutnya isteri pertama dan isteri keduanya itu bersahabat baik termasuk mengikuti aktiviti mengaji al-Quran dan kuliah bersama-sama.
“Saya jumpa (isteri kedua) untuk kali pertama dan kali terakhir atas siasatan bom itulah. Lepas itu tidak berjumpa lagi, tak ada berkawan dan tidak bercinta. Selepas kahwin baru saya bercinta kerana percintaan selepas kahwin lebih indah berbanding sebelum berkahwin,” katanya.
Beliau berkata, tujuan membuat pengakuan itu adalah bagi menjernihkan keadaan setelah pelbagai spekulasi timbul termasuk kononnya mereka berdua ditangkap berkhalwat sebelum ini.
“Jadi saya nak elak benda itu semua daripada orang buat dosa kering. Saya tak cakap apa-apa tapi nampak orang sudah keterlaluan buat spekulasi macam-macam, eloklah saya jernihkan keadaan saya berkahwin cara teratur.
Hal peribadi, hal rumah tangga orang tak eloklah diheret merata-rata, hormati privasi saya dan keluarga. Harap-harap selepas ini tak ada spekulasi apa-apa lagi,” katanya.