KesihatanNasional

Bimbang kes Covid-19 meningkat: Ubat-ubatan di farmasi amat berkurangan

FARMASI di bandar ini dan sekitarnya berlumba-lumba mengisi semula bekalan ubat-ubatan penting mereka di tengah-tengah kebimbangan bahawa satu lagi gelombang Covid-19 mungkin melanda negara.

Jangkitan Covid-19 melonjak di China pada November dan terus meningkat selepas Beijing membatalkan dasar sifar-Covid, dengan antara lainnya menghentikan pengujian secara berkala ke atas penduduknya.

Dengan kemasukan pelancong dari China dijangka meningkat berikutan penarikan balik sekatan perjalanan, jumlah kes Covid-19 dikhuatiri akan meningkat semula di Malaysia.

Sabah adalah antara destinasi kegemaran pelancong China di Malaysia. Hampir separuh daripada ketibaan di negeri ini antara 2017 dan 2019 terdiri daripada pelancong China.

“(Bekalan) pelitup muka dan pensanitasi tangan kami cukup untuk sepanjang tahun ini kalau-kalau (pemakaiannya) diwajibkan semula,” kata ahli farmasi Jordan Kah daripada Jatson Personal Care Store and Pharmacy kepada FMT.

“Tetapi bukan itu yang kami khuatiri sekarang. Kebimbangan utama kami sepanjang enam bulan lepas adalah kekurangan ubat-ubatan penting,” ujarnya.

Ubat-ubatan ini, katanya, termasuk parasetamol, sirap pelega batuk dan ubat selesema dan asma yang lazimnya digunakan untuk meringankan gejala Covid-19.

Beliau berkata, pembekal biasanya hanya akan memenuhi antara 30% dan 40% daripada pesanannya.

“Sebagai contoh, pembekal kami baru-baru ini hanya boleh membekalkan 10 kotak parasetamol, walaupun saya pesan 100 (kotak), kerana bekalan mereka tidak cukup.

“Ini bukan kerana ada terlalu banyak farmasi. Jumlahnya tidak meningkat secara mendadak sepanjang beberapa tahun ini. Cumanya (pembekal) tak cukup bekalan untuk semua orang,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Fadzil daripada Farmasi LifeCare turut berdepan perkara sama.

Katanya, beliau memesan 50 kotak ubat asma tetapi hanya menerima 12 kotak.

“Itupun saya kena tunggu tiga bulan untuk mendapatkan bekalannya,” katanya sambil menambah, kebanyakan pembekal akan mengutamakan bekalan untuk hospital.

Katanya, adalah lebih mudah untuk mendapatkan ubat-ubatan ini di hospital swasta tetapi perlu bersedia untuk membayar harga lebih mahal.

“Contohnya, salbutamol dijual dengan harga kurang RM30 di farmasi tetapi hospital swasta mungkin menjualnya sehingga RM60,” jelasnya.

Fadzil berkata, sebelum ini, parasetamol mudah didapati di kedai-kedai runcit  namun kedai-kedai ini sekarang tidak mempunyai banyak stok.

“Buat masa ini, kami masih boleh bertahan. Tetapi jika ada lonjakan kes Covid-19, kami mungkin menghadapi masalah untuk memenuhi pesanan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Fadzil pasti beliau mempunyai bekalan pelitup muka dan pensanitasi yang mencukupi untuk sepanjang tahun.

“Terdapat lebih ramai pembuat pelitup muka sekarang ini dan mudah untuk mendapatkannya.

“Banyak kedai menjual (pelitup muka), bukan hanya farmasi. Saya juga simpan bekalan kit ujian kendiri, tetapi tidak banyak kerana hayat simpanannya lebih pendek,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button