NegeriPendidikanRencah Hidup

Berusaha jadikan bahasa Melayu sebagai ‘bahasa perhubungan’

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya sedaya upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai ‘bahasa perhubungan’ serta bahasa penjalin rasa kebersamaan.

Baginda bertitah, dalam masa yang sama terus mempraktikkan tulisan Jawi supaya dapat dikekalkan dari generasi ke generasi.

Titah Baginda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula sebuah institusi kerajaan yang sangat signifikan peranannya dalam membina, memodenkan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai ‘bahasa ilmu’ serta ‘bahasa persuratan’ yang penting di Malaysia dan di Nusantara.

Baginda bertitah, bahasa Melayu sudah menjadi ‘lingua franca’ di Nusantara dan banyak karangan serta kitab-kitab agama ditulis dalam bahasa ini atau bertulisan Jawi.

“Beta yakin pihak DBP sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada Wilayah Andaman dan Selatan Thailand demi mempertingkatkan lagi penguasaan dan peluasan penggunaan jawi dan bahasa Melayu,” titah Raja Muda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika melancarkan simbolik Program
Pembelajaran Jawi Wilayah Andaman di Dewan Ballroom, Hotel Le Erawan, Phang Nga, Thailand.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Konsul Jeneral Malaysia, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir Timbalan Gabenor Trang, Kollawat Sapsongsuk, Pengarah Majlis Pentadbiran Wilayah Trang, Tarathip Thongjerm.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, banyak lagi kerjasama yang dapat disumbangkan oleh DBP pada masa akan datang bagi membantu meningkatkan pembelajaran dan penguasaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi di Wilayah Andaman dan Selatan Thailand ini.

“Besarlah harapan beta agar kita semua dapat memperkasakan lagi tulisan Jawi khasnya dan bahasa Melayu amnya,” titah Baginda.

Baginda bertitah, semoga dapat dikembalikan semula kegemilangan tulisan Jawi di persada dunia dan terus memajukan ummah di kedua-dua negara, InsyaAllah. – SM

baca PTSS perkasakan bahasa Melayu kepada pelajar Saetham Witayya School, Trang, Thailand

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button