
Beras Putih tempatan bersubsidi RM26 mula dijual 1 Mac, hanya untuk keluarga miskin
BERAS Putih Tempatan (BPT) bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) akan mula dijual di pasaran seluruh Semenanjung Malaysia mulai 1 Mac ini.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd, memaklumkan bahawa bantuan ini khusus untuk 400,000 keluarga miskin, dengan setiap ketua isi rumah (KIR) dibenarkan membeli maksimum dua pek.
Menurutnya, sebanyak 24 juta kampit BPT bersubsidi akan diedarkan menerusi projek rintis selama enam bulan, menyasarkan 400,000 KIR miskin, termasuk 77,000 KIR miskin tegar.
“Kerajaan telah mengumumkan intervensi dengan peruntukan subsidi khas sebanyak RM150 juta bagi tempoh enam bulan.
“BPT bersubsidi ini akan berada di pasaran bermula 1 Mac, iaitu pada hari pertama Ramadan, dan akan berakhir pada 31 Ogos ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, ketika berucap di Dewan Rakyat, mengesahkan bahawa kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi memastikan bekalan BPT mencukupi di pasaran.