Politik

Benarkah DAP selamatkan UMNO di Perak?

KUALA LUMPUR: Roslan Shahir Mohd Shahir mempersoalkan kenyataan bekas pemimpin Umno, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa DAP telah menyelamatkan parti berkenaan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang itu berkata, prinsip perjuangan Umno sejak sebelum merdeka menekankan pentingnya bangsa Melayu berdiri atas kaki sendiri dan mempertahankan maruah serta kedaulatan politik mereka.

“Kita bangsa yang punya maruah dan harga diri, bumi dipijak ini tanah tumpah darah kita, ia berdaulat lantaran berdaulatnya umat Melayu itu. Agar hati Melayu jangan alpa dan terpedaya.

“Agar umat Melayu ini sentiasa bersatu demi memartabat dan memperkukuh kuasa politiknya kerana ini tanah pusaka kita. Lantaran itulah pasca Peristiwa Hitam 13 Mei 1969, pemimpin Umno ketika itu Allahyarham Tun Abdul Razak menghulur tangan persahabatan mengajak PAS.

“Berkerjasama dan bermuafakat kerana umat Melayu ini selamanya akan rugi jangka panjangnya jika berpecah-belah. Tiba-tiba Nazri yang dibesarkan dalam sekolah Umno berterima kasih pada DAP kerana kononnya menyelamatkan Umno.

“Kononnya berkerjasama dengan PAS dan Bersatu akan terus melemahkan Umno,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Justeru, beliau menyeru agar pengundi Melayu-Islam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sedar dan menilai serta membuat pertimbangan sewajarnya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 April ini.

“Peluang mengembalikan zaman kegemilangan kedaulatan kuasa politik Melayu di depan mata, tapi sesama bangsa dicurigai, agenda peribadi bukan lagi agama dan bangsa diletakkan di hadapan.

“Biar pengundi di Ayer Kuning membuat perhitungan. Kita berupaya menyelamatkan maruah agama dan bangsa kiranya kita cerdik dan berpandangan jauh.

“Jika tidak selepas ini bukan lagi anak kecil bermain api tetapi lebih parah akan bermain roket merah terbang tanpa ada lagi maruah dan harga diri,” katanya. – HARAKAHDAILY

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button