Ekonomi

Belanda rakan dagang Eropah kedua terbesar Malaysia

KANGAR 27 Ogos – Dalam kalangan negara Kesatuan Eropah, Belanda merupakan rakan dagang kedua terbesar bagi Malaysia pada tahun 2023, dengan jumlah perdagangan bernilai RM40.95 bilion.

Dua negara ini turut berpotensi untuk bekerjasama dalam sektor industri seperti kelapa sawit, kerjasama digital, kecerdasan buatan, teknologi semikonduktor dan beberapa sektor lain.

Demikian menurut kenyataan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) disembah maklum oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia The Hague, Belanda setelah menerima simbolik sumbangan ‘Bantuan Ibnu Sabil’ berjumlah RM2,500 daripada MAIPs baru-baru ini.

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan untuk menyempurnakan penyerahan itu selepas berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol, Amsterdam kepada pegawai-pegawai diplomat dari pihak kedutaan Malaysia di The Hague iaitu Wan Maisarah Mohamed Idrus dan Sarizam Abu Bakar yang menyambut.

Baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Malaysia telah menjalinkan hubungan dua hala dengan negara Belanda sejak tahun 1957 yang kekal baik dan kukuh sehingga hari ini.

Lawatan dua hala tertinggi yang terkini adalah kunjungan Mantan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, ke Malaysia pada 31 Oktober hingga 1 November 2023, di mana beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, Tabung Ibnu Sabil daripada MAIPs disalurkan melalui beberapa buah pejabat Perwakilan Malaysia terpilih di luar negara bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan ibnu sabil dan pengantarabangsaannya.

Foto : MAIPs

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button