Luar Negara

Bekas pelayan restoran kendali perjanjian termahal di dunia

Ibrahimovic sehingga rundingan Pogba dan Haaland

ANDA semua tahu namanya, siapa yang tidak mengenalinya, lebih-lebih lagi dia merupakan lelaki yang bertanggungjawab mengendalikan perpindahan terbesar di dalam dunia bola sepak. Selama bertahun-tahun, dia terbabit dalam rundingan yang melibatkan perpindahan bernilai hampir 1 billion pound (RM5.43 billion) dan sentiasa menjadi perhatian lensa media.

Sudah tentu, kita sedang bercakap tentang Mino Raiola. Namun, adakah anda tahu dia hanya memulakan kehidupannya dengan menguruskan restoran milik keluarganya?

Raiola, 48, yang dilahirkan di Itali tetapi dia dan keluarganya telah berpindah ke Belanda sewaktu umurnya baru setahun. Dia membesar di Belanda, kemudian bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran yang menawarkan sajian Itali milik keluarganya yang dikenali sebagai Napoli.

Raiola yang berkebolehan bertutur dalam tujuh bahasa, lebih fasih bercakap dalam bahasa Belanda berbanding bapanya dan dia sering berurusan dengan pelanggan sejak usianya masih muda.
Selain membantu keluarganya menguruskan restoran, Raiola menghabiskan masa selama dua tahun di sekolah undang-undang, dan dia turut aktif bermain bola sepak bersama sebuah pasukan tempatan, HFC Haarlem.
Dari situ, dia mula bekerja di Sport-Promotion, sebuah agensi yang menguruskan ramai bintang ternama Belanda pada ketika itu.

Disebabkan kebolehannya fasih bertutur dalam bahasa Belanda dan Itali menjadi watak penting setiap kali agensi tersebut mengendalikan urusan perpindahan pemain. Perjanjian itu melibatkan perpindahan Dennis Bergkamp dan Wim Jonk dari Ajax ke Inter Milan yang bernilai 11 juta pound pada 1993.

Apabila tiba masa yang sesuai, Raiola kemudiannya meninggalkan syarikat tempat dia berkhidmat dan membuka perniagaan sendiri dengan perjanjian besar pertamanya melibatkan rundingan Pavel Nedved yang berpindah dari Sparta Prague ke Lazio selepas perancang Republik Czech itu mempamerkan aksi cemerlang pada Euro 1996.

Dengan syarikatnya sendiri, Raiola mula mengumpulkan ramai pemain Ajax sebagai pelanggannya.
Menerusi satu pertemuan dengan seorang pemain muda Sweden, dia berjaya mendapatkan satu perjanjian yang bernilai lebih 130 juta pound hanya untuk yuran perpindahan, pemain berkenaan dimaksudkan adalah Zlatan Ibrahimovic.

Ibrahimovic ada menceritakan tentang bagaimana kali pertama mereka bertemu dalam autobiografinya, I Am Zlatan dengan ejen tersebut muncul di sebuah restoran mewah hanya mengenakan seluar jeans lusuh dan kemeja-T sebelum menikmati sajiannya dengan lahap sekali.

“Adakah dia seorang ejen? Pelik rasanya. Selepas itu, sewaktu kami membuat pesanan, apakah yang anda rasa mereka sajikan kepada kami? Adakah sajian sushi bersama avocado dan udang?

“Makanan yang disajikan kepada kami cukup untuk lima orang makan dan dia mula melahap makanannya,” kata Ibrahimovic.

Raiola tidak mengambil masa lama untuk menambat hati Ibrahimovic, apabila memperincikan rekod penyerang Eropah yang lain berbanding dengan bintang Sweden itu semasa makan tengah hari tersebut dan sejak itu, dia menjadi ejen pemain tersebut.

Raiola juga mencipta musuh selaku ejen pemain handalan dunia. Itu sudah pasti.

Alex Ferguson pernah menyalahkan Raiola selepas pemain muda berbakat besar, Paul Pogba meninggalkan Menchester United pada 2012. Ferguson berkata, Pogba hampir menandatangani kontrak baharu bersama United sebelum Raiola dilantik sebagai ejennya.

Disebabkan hubungan Ferguson dan Raiola seperti ‘minyak dan air’, maka perjanjian itu gagal dimeteraikan dan Pogba menandatangani bersama Juventus. Dalam bukunya, Leading, Fergie ada menyatakan: “Terdapat satu atau dua ejen bola sepak yang saya tidak suka.

“Mino Raiola, ejen Paul Pogba adalah salah seorang daripadanya… Saya tidak percaya kepadanya sejak mula-mula bertemu dengannya.

“Kami telah bersetuju dengan Paul untuk mengikat kontrak selama tiga tahun, beserta pilihan satu tahun lagi penyambungan dalam perjanjian tersebut tetapi Raiola secara tiba-tiba muncul di tempat kejadian dan pertemuan pertama itu gagal sama sekali.

“Dia dan saya seperti minyak dan air. Sejak saat itu, ia sama sekali tiada harapan kerana Raiola telah berjaya memikat Paul serta keluarganya dan pemain itu menandatangani kontrak dengan Juventus.”

Sudah tentu, Pogba kembali ke pangkuan United empat tahun selepas itu dan berjaya menyempurnakan perpindahan bernilai 89 juta pound yang merupakan satu catatan rekod dunia, dengan Raiola berjaya mengaut keuntungan sebanyak 20 juta pound daripada yuran itu selepas mencipta pelbagai masalah.

Raiola kini berjaya mendapatkan tandatangan hampir 80 pemain yang menyertai agensinya. Sebahagiannya terdiri dalam kalangan pemain ternama dunia, seperti Pogba, Ibrahimovic, pemain muda berbakat, Erling Haaland, Mario Balotelli dan Matthijs De Ligt.

Dia juga berjaya mengikat perjanjian bersama beberapa bintang muda Belanda. Seperti mana De Ligt, Raiola juga berjaya membawa Donyell Malen, Myron Boadu, Mohamed Ihattaren, Justin Kluivert dan Calvin Stengs di bawah naungannya.

Namun, bukan semua yang berjaya mengikut apa yang dimahukan Raiola, dia kehilangan Romelu Lukaku pada 2018, apabila bekas bintang United dan Chelsea itu memilih untuk menandatangani bersama Jay-Z Roc Nation.
Menurut satu laporan, difahamkan Lukaku sudah muak dengan Raiola dan memutuskan untuk memilih jalannya sendiri.

Sejak berpisah dengan Raiola, Lukaku meninggalkan Manchester United serta menandatangani bersama Inter Milan dan dia kini menikmati tahun terbaik dalam kariernya.

Dengan kumpulan besar bintang berbakat yang menyertai agensinya, Raiola sentiasa sibuk, sama ada terlibat dengan perkara baik atau buruk.

Khabar terbaru mengenainya, Raiola mendakwa masa Pogba di Manchester United sudah berakhir buat kali kedua. Pemain tengah itu sudah lama menyatakan pendiriannya bahawa dia mahu meninggalkan Old Trafford, dan dia pernah mendesak untuk berpindah ke Real Madrid pada musim panas 2019.

Bagaimanapun, perpindahan itu tidak pernah menjadi, dengan Pogba dan Raiola kini terpaksa bertindak nekad pada 2021 dengan kelab yang bersedia mendapatkan tandatangannya. Permainan menyeronokkan Raiola itu tidak hanya berakhir dengan Pogba seorang.

Dia turut terlibat dengan Real Madrid yang dikatakan sedang memburu khidmat seorang lagi pelanggannya iaitu Haaland pada musim panas 2021.

Liverpool dan United turut dikaitkan dengan pemain muda Borussia Dortmund itu, sementara Haaland serta Pogba hanya memainkan peranan kecil daripada gosip perpindahan tersebut.

Dengan hampir 80 pelanggan, ada di antara mereka terdiri daripada superstar atau pemain muda berbakat, Raiola sudah tentu cukup sibuk meraih keuntungan besar di atas perkhidmatannya. Dan apabila difikirkan kembali, ia hanya bermula dari sebuah restoran Itali di Belanda. – The Sun – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button