Bekalan daun anyam ketupat nasi pula tidak cukup
Wartawan Suara Merdeka
MELAKA 25 April – Bekalan daun kelapa muda untuk menganyam ketupat nasi tidak mencukupi bagi menampung
permintaan yang meningkat mendadak menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Pemborongnya, Hasan Loyot berkata, dia hanya menerima bekalan bahan itu sebanyak 1,000 ikat pelepah daun
kelapa muda daripada pembekalnya di Indonesia dan telah mengambilnya di Batu Pahat, Khamis lepas.
Menurutnya, pembekal menjanjikan 1,500 ikat akan diperolehinya namun sewaktu mengambil daun kelapa muda
itu permintaannya tidak dapat dipenuhi pembekal itu apabila sekadar menerima 1,000 ikat sahaja.
Situasi itu katanya, memaksa dia menghadkan pembelian daripada peniaga dan penjual ketupat rebus iaitu
daripada 100 ikat kepada 50 ikat sahaja.
“Saya terpaksa hadkan pembelian kerana bekalan tidak mencukupi sedangkan permintaan meningkat dua kali
ganda.
“Jika saya tidak hadkan pembelian mungkin ramai peniaga tidak dapat mencari rezeki kalau ada peniaga yang
mengambil daun ini dengan kapasiti yang sangat banyak,” ujarnya.
Menurut Hasan, enam pekerjanya kini sedang bertungkus-lumus mengasingkan pelepah daun kelapa muda bagi
memilih yang tidak rosak atau pendek daunnya untuk diikat mengandungi sebanyak 100 helai.
Katanya, kebanyakkan peniaga di Pasar Borong dan Pasar Besar Melaka sudah membuat tempahan daun berkenaan
sejurus dimaklumkan ketibaan bahan itu minggu lalu.
Jelasnya, hampir separuh daripada pelepah berjumlah 1,000 ikat yang diterimanya sudah diasingkan dan
dijangka dalam beberapa hari ini bahan itu bakal habis dijual.
Katanya lagi, syarikat dari Indonesia menetapkan harga dari RM25 kepada RM35 seikat bagi kira-kira 400
helai daun tersebut.
“Kenaikan harga daun kelapa muda tahun ini tidak dapat dielak kerana mereka memberi alasan kos sewa kapal,
upah dan sebagainya turut meningkat. Saya tidak ada pilihan untuk menaikkan harga jika tidak langsung
tidak ada bekalan diperoleh,” ujarnya.
Jelasnya lagi, ekoran kenaikan harga borong, secara tidak langsung harga runcit juga turut meningkat
kepada RM18 seikat yang mengandungi 100 helai.
Menurutnya, bekalan terpaksa bergantung dari negara jiran kerana sukar mendapat pembekal tempatan yang
mampu membekalkan daun kelapa muda dengan kapasiti besar.