Bebas Berjalan Tanpa Pelitup Muka, Rakyat Malaysia Sanggup Ke Singapura!
Malaysia memasuki peralihan fasa endemik bermula 1 April dan mengikut beberapa pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, banyak sempadan negara turut dibuka.
Misalnya laluan antara Johor dan Singapura dijangka rancak bermula awal pagi ini dan rakyat Malaysia sudah pun ramai bersiap sedia untuk memasuki Singapura dalam tempoh beberapa jam lagi.
Semuanya kerana Singapura telah memberi kelonggaran dalam berdepan Covid-19 dengan membenarkan orang ramai boleh berjalan di tempat terbuka tanpa pelitup muka bermula 29 Mac lalu.
Bagi rakyat Singapura pula, masing-masing dijangka akan memenuhi kawasan Johor Bahru terutamanya untuk menikmati makan minum atau berbelanja pada kos yang agak murah.
Sepanjang Suara Merdeka berada di Johor Bahru semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, suasana Johor Bahru memang agak sepi dan tidak seperti sebuah bandar yang meriah.
Namun dengan pembukaan sempadan 1 April, aktiviti di Johor mahu pun Singapura dijangka akan kembali meriah dan perlahan-lahan beradaptasi dengan suasana endemik.