Nasional

Bank Rakyat serah 4,000 pensanitasi tangan ke sekolah-sekolah

SEKURANG-KURANGNYA 200 sekolah terpilih di seluruh negara menerima 4,000 pensanitasi tangan dan 400 alat pemegang pensanitasi tangan berpedal sejak 30 September tahun lepas.


Penyerahan tersebut telah dilaksanakan oleh Bank Rakyat di sekolah-sekolah sekitar Johor Bahru dan Skudai, Johor, Ayer Molek dan Kampung Duyong, Melaka, Seremban, Senawang dan Nilai, Negeri Sembilan, Sungai Petani, Kedah serta Kepala Batas, Georgetown dan Bayan Baru, Pulau Pinang.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, inisiatif ini yang mana seiring dengan semangat serta konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Kerajaan melambangkan komitmen berterusan Bank Rakyat khususnya dalam usaha membendung risiko penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat termasuk kanak-kanak.

“Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain warga emas, kanak-kanak merupakan antara golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak Covid-19.

“Justeru inisiatif ini sebagai salah satu usaha Bank mencegah penularan wabak dalam kalangan pelajar bagi memastikan sesi persekolahan secara bersemuka dapat diteruskan dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, komitmen ini juga selaras dengan Rangka Kerja Kelestarian Bank Rakyat dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang keempat iaitu pendidikan berkualiti bagi memastikan kelangsungan pendidikan yang inklusif dan mapan.

Pada masa sama, kata Abd Rani, ia juga bagi mengukuhkan Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) seperti mana yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan impak yang positif kepada ekonomi serta komuniti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan pula berkata, beliau berharap agar menerusi sumbangan yang disalurkan ini dapat membantu sekolah memenuhi keperluan pengurusan wabak Covid-19 di sekolah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Pihak kami berharap pensanitasi tangan ini digunakan sebaik mungkin untuk kegunaan warga sekolah dan pada masa yang sama dapat kita terapkan aspek norma baharu kehidupan menerusi kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan diri dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya melalui kenyataan bersama. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button