Ekonomi

Bank Rakyat sediakan dana hampir RM2 juta untuk RAKYATpreneur 2.0

BANK Rakyat memperuntukkan dana hampir RM2 juta untuk RAKYATpreneur 2.0 bermula Julai 2021 hingga hujung tahun ini dengan menyantuni lebih 200 orang usahawan asnaf yang bakal dipilih dari seluruh negara.

Dana tersebut akan diagihkan kepada perniagaan daripada latar belakang yang kurang berkemampuan seperti usahawan asnaf yang berpotensi tinggi untuk memperluaskan perniagaan dan maju dalam sektor keusahawanan.

Peserta RAKYATpreneur 2.0 yang layak akan diberi latihan dan bimbingan serta pemantauan secara inklusif selama enam bulan dengan penyediaan modul yang lebih komprehensif.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak kementerian sentiasa menekankan kepada agensi akan peranan mereka dalam memajukan sosioekonomi negara dengan mengambil kira keperluan masyarakat terutama sekali golongan yang memerlukan seperti asnaf dan B40.

“Justeru, saya berpendapat bahawa program sebegini harus diperkembangkan ke peringkat seterusnya agar lebih ramai lagi usahawan dapat dibantu sekali gus meningkatkan status komuniti asnaf dan seterusnya menjana ekonomi negara,”katanya.

Terdahulu, program rintis RAKYATpreneur yang dilancarkan pada Disember tahun lalu yang mana telah berjaya meningkatkan hasil jualan perniagaan 20 orang usahawan mikro antara 20 dan 30 peratus hanya kurang dari enam bulan.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar berkata, pihaknya berkeyakinan untuk meneruskan program ini pada skala yang lebih besar berdasarkan penilaian RAKYATpreneur rintis yang mana majoriti pesertanya menunjukkan hasil jualan bulanan yang meningkat.

“Para peserta juga lebih berkreativiti dalam mempelbagaikan kanvas perniagaan dengan mencipta penjenamaan sendiri dan jualan dalam talian.

“Pelbagai program dan inisiatif Rakyatpreneur 2.0 telah dirancang bagi memastikan RAKYATpreneur 2.0 terus membantu meningkatkan pendapatan peserta sekurangkurangnya sebanyak 30 peratus dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, beliau berharap agar program RAKYATpreneur 2.0 ini dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh usahawan asnaf, terutamanya yang kehilangan punca pendapatan kerana tidak dapat meneruskan perniagaan mereka susulan penularan pandemik COVID-19.

Bermula 1 Mei sehingga 31 Mei 2021, maklumat lanjut dan borang pendaftaran bagi menyertai program ini boleh didapati di laman web rasmi Bank Rakyat www.bankrakyat.com.my.

Borang pendaftaran tersebut hendaklah dihantar ke cawangan Bank Rakyat yang berhampiran dalam tempoh berkenaan.

Pada Disember tahun lalu, Bank Rakyat memperkenalkan program rintis RAKYATpreneur yang mana seramai 20 orang usahawan mikro dari pelbagai bidang seperti makanan dan minuman, percetakan, kedai runcit dan makanan laut telah terpilih untuk menerima dana berjumlah RM5,000 setiap seorang termasuk bimbingan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan menerusi program webinar dengan kerjasama daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) serta bimbingan kewangan daripada Bank Rakyat. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button