Bank Rakyat raih anugerah ‘Kecemerlangan dalam CSR’ di Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera 2021
BANK RAKYAT baru-baru ini meraih anugerah ‘Kecemerlangan dalam CSR’ pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera 2021 (BBEA 2021).
BBEA 2021 yang buat julung kalinya diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan kepada usahawan dan perniagaan Bumiputera daripada pelbagai industri serta selebriti atas inovasi, sumbangan dan pencapaian mereka walaupun berdepan dengan cabaran akibat pandemik COVID-19.
Anugerah ‘Kecemerlangan dalam CSR’ itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Haji Omar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.
Menurut Dato’ Syed Abdul Aziz, pengiktirafan tersebut adalah hasil daripada impak positif terhadap penglibatan dan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam melaksanakan inisiatif jangkauan komunitinya seperti pemberian bantuan barang keperluan harian dan makanan asas bagi memenuhi keperluan masyarakat yang memerlukan termasuk golongan usahawan, pelajar B40 serta penduduk yang terjejas akibat bencana.
“Anugerah ini turut mengiktiraf sumbangan Bank Rakyat menerusi program Nuri Nutrisi yang telah dilancarkan Bank berkenaan sejak Januari 2019. Program ini bertujuan untuk mencorakkan kehidupan lestari masyarakat setempat dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan status nutrisi pelajar sekolah yang tidak berkemampuan, di samping menjaga keperluan sosial komuniti setempat seiring dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Kerajaan.
“Antaranya, pelaksanaan Kebun Nuri Nutrisi yang mana memberi peluang kepada pelajar dan sekolah menguruskan tanaman sayuran dan buah-buahan yang hasilnya dapat dituai untuk dijual dan dijadikan sumber makanan bernutrisi secara berterusan oleh pelajar B40. Pada masa yang sama, program ini dapat mendidik pelajar mengenai kemahiran keusahawanan dan perniagaan pertanian pada usia yang muda.
“Selain itu, Bank Rakyat juga melaksanakan program keusahawanan seperti RAKYATpreneur bagi menyantuni usahawan asnaf yang berpotensi menerusi penyediaan dana perniagaan termasuk modul latihan dan bimbingan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan mereka.
“Di samping itu, Bank Rakyat juga memperkenalkan Program Rintis UNIpreneur dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) untuk membantu usahawan siswa daripada golongan asnaf mengembangkan perniagaan mereka dalam persekitaran ekonomi yang mencabar akibat penularan COVID-19,” ujar Dato’ Syed Abdul Aziz.
Tambah beliau, penghargaan terhadap usaha Bank Rakyat ini memberi dorongan dan galakan kepada Bank berkenaan untuk merancang pelaksanaan inisiatif jangkauan komunitinya pada masa akan datang bagi terus menyantuni golongan yang memerlukan. – SM