Ekonomi

Bank Rakyat Rai ulang tahun ke-70 dengan dividen istimewa RM56.6 juta

SEMPENA ulang tahun ke-70 Bank Rakyat, dividen istimewa sebanyak dua peratus akan mula dibayar pada 28 September 2024, dengan jumlah keseluruhan RM56.6 juta kepada 784,487 anggota.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Bank Rakyat menyatakan bahawa pembayaran dividen ini melambangkan komitmen mereka untuk terus menawarkan pulangan kompetitif kepada para anggota. Di samping itu, ia juga menandakan kejayaan Bank Rakyat sebagai salah satu institusi kewangan Islam terbesar di negara ini serta bank koperasi Islam terbesar di Malaysia, yang memainkan  peranan penting dalam pembangunan ekonomi masyarakat.

Bank Rakyat terus berusaha mengekalkan prestasi pertumbuhan yang kukuh dan relevan melalui pelaksanaan pendekatan baharu berdasarkan pelan perniagaan dan strategi jangka panjang. Ini termasuk memanfaatkan peluang yang ada dalam perniagaan dan operasi melalui transformasi digital untuk mencipta nilai jangka panjang bagi anggota serta pelanggan.

“Dividen ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan anggota, tetapi turut membantu mereka mencapai matlamat kewangan peribadi, sama ada dalam simpanan, pelaburan, atau perbelanjaan harian,” menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini, pada 5 April 2024, Bank Rakyat telah mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan 2023, melibatkan jumlah keseluruhan RM424.62 juta. Pengumuman dividen istimewa dua peratus ini dibuat bersempena dengan ulang tahun ke-70 bank tersebut.

Selain itu, Kumpulan Bank Rakyat turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.76 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, menunjukkan peningkatan sebanyak 3.8 peratus atau RM64.48 juta berbanding RM1.70 bilion pada tahun sebelumnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button