Uncategorized

Bank Rakyat perkukuh literasi kewangan sempena FLM 2024

SEMPENA Bulan Literasi Kewangan 2024 (FLM 2024), Bank Rakyat giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan setiap peringkat masyarakat.

FLM 2024, dengan tema ‘Bijak Wang, Hidup Sejahtera’, merupakan program tahunan anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan, satu platform antara agensi yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Penglibatan Bank Rakyat dalam penganjuran FLM pada tahun ini bertempat di Dewan Yayasan Islam Kelantan, Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu, Kelantan, melambangkan komitmen tinggi Bank tersebut dalam menyokong usaha Kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu literasi kewangan, terutamanya komuniti yang kurang (underserved) dan tidak (unserved) mendapat perhatian atau liputan perkhidmatan
kewangan.

Selain menyediakan fasiliti Bank Bergerak yang telah dinaik taraf dengan perkhidmatan pajak gadai Islam, Bank Rakyat turut mengadakan sesi perkongsian untuk memberi penjelasan berkaitan kesedaran kewangan berkaitan topik seperti memperkasa literasi kewangan dalam gaya hidup, celik kewangan serta jenayah siber dan digital.

Bank Rakyat juga menekankan isu kewangan berhubung kesedaran masyarakat mengenai penipuan kewangan, manfaat perbankan digital, kepentingan perlindungan Takaful komprehensif untuk persediaan di waktu kecemasan atau musibah dan perancangan harta yang berkesan demi kepentingan generasi akan datang.

Sejajar dengan usaha Kerajaan untuk rakyat mendapatkan pelan insurans atau takaful untuk perlindungan, Bank Rakyat turut menyediakan satu Pelan Takaful yang cukup komprehensif dan murah dengan bayaran serendah 14 sen sahaja sehari.

Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan termasuk pertandingan mewarna, menulis esei serta video pendek bagi menarik minat pelajar terhadap konsep kewangan menerusi
pendekatan yang lebih santai dan kreatif.

Di samping itu, Bank Rakyat menyampaikan sumbangan berjumlah RM408,050.00 untuk membantu 2,208 orang para pelajar asnaf daripada 25 buah sekolah di Kota Bharu.

Sempena FLM 2024 dan Hari Tabungan Sedunia, Bank Rakyat juga melancarkan program Nuri Pecah Tabung yang menyasarkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

Inisiatif ini yang bermula pada September lalu hingga 24 November 2024 berlangsung di 14 buah sekolah di seluruh negara yang mana peserta digalakkan untuk membawa tabung mereka.

Seramai 12,000 kanak-kanak yang dijangka mengambil bahagian berpeluang merebut hadiah terkumpul sebanyak RM28,000.00 untuk dinobatkan sebagai 20 ‘Penabung Terbaik’ di setiap lokasi.

Antara sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Kemuning, Shah Alam, Sekolah Sri Seremban, Negeri Sembilan, SK Matang Jaya, Kuching dan SK Padang Kota, Kangar.

Program ini memberi tumpuan kepada pendidikan pelajar mengenai konsep kewangan asas, membina tabiat kewangan yang baik dan mempersiapkan mereka untuk membuat keputusan kewangan pada masa hadapan, di samping menggalakkan kebebasan kewangan.

Selain itu, pada 24 Oktober 2024, Bank Rakyat turut mengadakan Hari Deposit secara serentak di semua cawangan, bertujuan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai produk dan akaun deposit. Inisiatif ini bukan sahaja menawarkan promosi dan tawaran eksklusif tetapi juga menyediakan sesi literasi kewangan interaktif.

“Keupayaan untuk menguasai literasi perancangan kewangan dapat membantu individu
membangunkan sumber kewangan yang lebih sihat bagi keperluan diri dan keluarga
mereka, seterusnya memiliki masa depan yang lebih terjamin,” ujar Bank Rakyat dalam
satu kenyataan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button