Bank Rakyat komited perluas perkhidmatan kewangan melalui tiga kerjasama strategik
BANK RAKYAT komited memperluaskan perkhidmatan kewangannya melalui kolaborasi dengan tiga rakan strategik iaitu Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia, KPJ Healthcare University serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) yang mana akan membuka peluang baharu dan membawa manfaat besar kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya para pelajar universiti dan umat Islam.
Menerusi kolaborasi ini, Bank Rakyat akan memperluaskan Program Sekolah Tanpa Tunai di institusi pendidikan di bawah seliaan Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia yang mana kini merangkumi 54 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), empat Kolej MARA dan enam Kolej Profesional MARA.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, Program Sekolah Tanpa Tunai Bank Rakyat ini bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan pelajar dan mencipta ekosistem tanpa tunai di premis sekolah, di samping memberi manfaat kepada pelajar berusia 13 hingga 17 tahun serta ibu bapa mereka yang boleh memantau perbelanjaan dan transaksi anak-anak melalui perbankan internet.
“Menerusi kerjasama ini, pelajar dan sekolah dapat menikmati pelbagai kemudahan perkhidmatan dan produk perbankan Bank Rakyat seperti pembukaan akaun simpanan, kad debit khas untuk pelajar, pembukaan Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i) dan kemudahan terminal POS untuk pengusaha kantin sekolah dan koperasi sekolah serta platform perbankan digital termasuk aplikasi iRakyat, Duitnow QR, DuitNow serta JomPay”.
Sehingga Oktober 2023, program ini telah memberi manfaat kepada lebih daripada 14,000 orang pelajar di 56 buah sekolah di seluruh negara.
“Suka juga untuk saya kongsikan bahawa Kad Debit-i khas pelajar bagi Program Sekolah Tanpa Tunai kini berwajah Baharu dengan reka bentuk yang lebih ekslusif”, tambah beliau.
Sementara itu, kerjasama dengan KPJ Healthcare University bertujuan untuk membantu pelajar menampung yuran pengajian dan kos sara hidup mereka di samping bagi memastikan golongan belia dapat mengakses pendidikan tinggi yang berkualiti sejajar dengan konsep Malaysia Madani khususnya bagi memacu pembangunan modal insan dan ummah menerusi pendidikan.
Pada tahun 2018, Bank Rakyat mula berkolaborasi dengan KPJ Healthcare University yang merupakan anak syarikat KPJ Healthcare Berhad untuk menyediakan Pembiayaan Pendidikan-i kepada pelajar peringkat pengajian Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan dengan tawaran pembiayaan sehingga RM250,000 termasuk kos sara hidup dengan tempoh pembiayaan sehingga 20 tahun.
Bermula 2023, Bank Rakyat meluaskan penyediaan program pembiayaan ini ke peringkat pengajian Diploma Kejururawatan.
“Saya percaya bahawa pendidikan adalah kunci untuk masa depan yang lebih cerah dan saya amat berharap agar inisiatif ini dapat membantu lebih ramai lagi pelajar mencapai impian mereka”, tambah Dato’ Dr. Muhammad Hanis.
Di samping itu, Bank Rakyat juga mengumumkan kerjasama dengan PAPUH yang mana Bank Rakyat menyediakan penyelesaian kewangan merangkumi kos umrah dan haji termasuk perbelanjaan para jemaah di Mekah dan Madinah.
Mengulas mengenai kerjasama ini, Dato’ Dr. Muhammad Hanis berkata, menerusi kolaborasi ini, Bank Rakyat menawarkan pakej patuh Syariah untuk tujuan umrah dan haji termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Kad Kredit-i, Kad Debit-i, Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah serta perkhidmatan kiriman wang asing (Foreign Remmittance) kepada agensi pelancongan untuk membuat bayaran ke luar negara dengan kadar tukaran yang kompetatif dan lebih pantas.
Antara enam agensi pelancongan di bawah PAPUH yang teribat menerusi kerjasama ini termasuk Eiman Travel and Tours, Alif Travel and Tours, Wira Saujana Travel and Tours, TM Tours and Travel, Barakah Umhaj Travel and Tours dan Al Ilmi Travel and Tours. Kerjasama dengan agensi pelancongan lain dibawah PAPUH juga akan diperluaskan dengan menyeluruh pada masa hadapan. – SM
Artikel berkaitan > Bank Rakyat bekerjasama dengan CelcomDigi sebagai “Bank 5G Pertama di Malaysia”