Ekonomi

Bank rakyat bantu usahawan asnaf melalui Program Rakyatpreneur dan UNIpreneur

DENGAN peruntukan berjumlah RM3.82 juta Bank Rakyat terus komited bantu usahawan dari golongan asnaf dan usahawan dari pelajar universiti.

Program RAKYATpreneur 5.0 dan Bank Rakyat UNIpreneur 4.0 berjaya membantu seramai 1,833 dengan jumlah dana sumbangan keseluruhan sebanyak RM6.63 juta sejak lebih tiga tahun penganjurannya.

Menurut timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan, inisiatif ini juga dapat memperkukuh kesejahteraan sosial dalam memenuhi ekonomi keperluan (need base) dengan tujuan membantu membangunkan keupayaan golongan terpinggir untuk keluar daripada kemiskinan relatif, bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) dalam mencapai sasaran ‘Tiada Kemiskinan’ atau ‘No Poverty’.

“Saya amat memuji pelaksanaan program seperti RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur ini yang dapat menyokong pembangunan usahawan dan siswa asnaf berpotensi ini dalam mewujudkan perusahaan yang berdaya tahan menerusi suntikan dana, modul latihan dan bimbingan holistik yang disediakan bagi mencipta peluang untuk usahawan berkembang dan memajukan perniagaan mereka,” ujar YB Dato’ Ramanan semasa menghadiri Majlis Perasmian Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat.

“RAKYATpreneur 4.0, yang melibatkan seramai 300 orang usahawan menunjukkan prestasi yang positif yang mana sebanyak 63% atau seramai 189 peserta mencatatkan peningkatan jualan sepanjang tempoh enam bulan program berlangsung. Selain itu, 69% atau 208 peserta telah mula mempunyai wang simpanan daripada hasil jualan masing-masing serta 62% atau 187 peserta menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

“Manakala, Bank Rakyat UNIpreneur 3.0 pula memperlihatkan kesedaran melibatkan keseluruhan 500 orang usahawan dari aspek pemerkasaan kewangan yang mana 90% atau seramai 451 peserta mempunyai simpanan secara bulanan. Lebih membanggakan, mereka ini juga telah memanfaatkan platform digital untuk menjana pendapatan iaitu 53.8% atau 269 peserta menjalankan perniagaan secara dalam talian dan 67% atau 335 peserta menggunakan transaksi secara digital,” tambah YB Dato’ Ramanan.

Para peserta RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur sentiasa diberi peluang untuk terlibat dalam mana-mana program keusahawanan yang disediakan oleh agensi mahu pun Kerajaan. Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur ini turut menyokong program iTEKAD oleh Bank Negara Malaysia yang membolehkan usahawan mikro mendapat akses kepada pembiayaan untuk memulakan dan memajukan perniagaan mereka.

“Menerusi inisiatif ini, Bank Rakyat berjaya membantu usahawan dan siswa asnaf meningkatkan kompetensi mereka, mengenal pasti dan merebut peluang untuk kekal relevan dalam pasaran. Sokongan ini telah menghasilkan anjakan paradigma yang signifikan, menjadikan hasil perniagaan lebih mampan dan meningkatkan punca pendapatan mereka’’. Tambahnya.

Sebagai kesinambungan daripada kedua-dua program ini, Bank Rakyat telah memperkenalkan program rintis Accelerator bermula 23 Mei 2024 bagi memberi peluang kepada para alumni kedua-dua program ini untuk mendapatkan suntikan dana tambahan sehingga RM15,000.00 untuk merancakkan lagi perniagaan mereka.

Sebanyak 112 rancangan perniagaan telah diterima dan 20 daripadanya telah berjaya mendapatkan suntikan dana dengan jumlah keseluruhan RM242,383.32.

Datuk Mohd Irwan turut berkongsi dalam ucapannya, kesinambungan kedua-dua program pembangunan usahawan ini menunjukkan komitmen Bank Rakyat dalam usaha membantu memacu pertumbuhan sosioekonomi negara, khususnya dalam mempertingkatkan potensi usahawan asnaf termasuk segmen yang tidak mendapat
perkhidmatan kewangan (unserved) serta kurang mendapat perkhidmatan kewangan (underserved).

Inisiatif sebelum ini berjaya membantu ramai usahawan, antaranya Puan Norhasyimah Daud, pengusaha perniagaan ‘QeelChoc’ yang telah terpilih sebagai fasilitator bagi program coklat pembuatan tangan oleh Lembaga Koko Malaysia.

Di samping itu, Cik Nurhanis Baharudin, pengasas perniagaan Sulam Global Enterprise yang menjual produk sulam kit pula turut diundang sebagai fasilitator bagi sesi bengkel sulaman di Financial Services Library Fest 2024 anjuran Perpustakaan Bank Negara Malaysia.

Majlis perasmian ini turut menghimpunkan 70 usahawan RAKYATPreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur bagi jualan lestari sempena ulang tahun Bank Rakyat yang ke-70 dengan pelbagai jualan produk ditawarkan termasuk jenis barangan seperti makanan dan minuman, pakaian dan aksesori, kraftangan, barang kecantikan dankesihatan
serta produk digital.

Artikle Berkaitan :>

Bank Rakyat perkenal Akaun Simpanan i-Nuri Kids untuk kanak-kanak

Bank Rakyat dan SPNB jalin kerjasama bantu B40 miliki kediaman sendiri

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button