Ekonomi

Bank Negara kekalkan OPR pada 3.0 peratus

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada
3.0 peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, ekonomi global terus berkembang berikutan keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan dan pemulihan perdagangan global yang berterusan. Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berterusan disebabkan oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus menurun dan dasar monetari yang kurang ketat.

Perdagangan global dijangka terus pulih dengan sokongan produk elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E) serta produk bukan E&E. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, volatiliti dalam pasaran kewangan global dan momentum pertumbuhan yang lebih perlahan di ekonomi-ekonomi utama.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 pertama pada separuh pertama tahun 2024. Penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih giat.

Pada masa hadapan, eksport dijangka terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan E&E yang terus
kukuh.

Perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar masih terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

Pengembangan mantap aktiviti pelaburan akan berterusan disebabkan oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan.

Import pengantaraan dan modal yang lebih tinggi akan memberikan sokongan lanjut kepada eksport dan pelaburan. Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Sementara itu, risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek pelaburan.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8 peratus pada separuh pertama tahun 2024. Kesan limpahan daripada pelarasan harga diesel kepada harga secara amnya terkawal berikutan keberkesanan langkah-langkah pengurangan dan penguatkuasaan untuk meminimumkan kesan kos kepada perniagaan.

Bagi seluruh tahun 2024, purata inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal dalam julat yang diunjurkan sebelum ini dan berkemungkinan tidak melebihi 3.0 peratus.

Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus bergantung pada pelaksanaan langkah-langkah dasar dalam negeri  yang selanjutnya. Risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri terhadap subsidi dan kawalan harga kepada trend harga yang lebih luas, serta harga komoditi  global dan perkembangan pasaran kewangan.

Pemulihan nilai ringgit baru-baru ini didorong oleh perubahan jangkaan berhubung dengan kadar faedah dasar yang lebih rendah di ekonomi-ekonomi utama, khususnya di Amerika Syarikat, serta prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh.

Pada masa hadapan, prospek ekonomi Malaysia yang positif, pembaharuan struktur dalam negeri serta inisiatif yang sedia ada untuk menggalakkan aliran akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan. MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri menuju tahun 2025.

MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button