Nasional

Ayuh! Bantulah kerajaan, diri sendiri, keluarga…

PENGALAMAN pertama Kerajaan baharu dalam menghadapi penularan wabak penyakit “Coronavirus Disease 2019” atau singkatannya Covid-19 sehingga terpaksa mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020 telah menimbulkan pelbagai reaksi rakyat.

Rata-rata tidak bersedia dengan arahan tersebut dan mengutarakan kebimbangan mengenai kesan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan ekoran gelombang kedua penularan wabak Covid-19 secara mendadak yang melanda negara.

Tidak kurang pula mereka yang menggunakan peluang ini atas kepentingan tertentu dengan mengkritik serta mempolitikkan situasi krisis yang berlaku sekarang ini.

Jelasnya, perbuatan menuding jari lebih diutamakan, tanpa menghiraukan fokus utama Kerajaan iaitu untuk menangani penularan wabak ini dengan cepat, terkawal dan teratur.

Justeru, adalah menjadi objektif artikel ini untuk memberi sedikit sebanyak penerangan berhubung situasi camuk yang melanda negara pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan agar kita dapat memahaminya dengan lebih lanjut, bertindak secara rasional dan memberi kepercayaan kepada Kerajaan menangani wabak Covid-19 untuk kesejahteraan bersama.

Matthew W. Seeger (2002) melalui jurnalnya bertajuk Chaos and Crisis menjelaskan tentang Teori Huru-Hara (Chaos Theory) yang memberi penekanan kepada kurangnya kebolehramalan dalam sesuatu sistem tingkah laku, interaksi luar jangka dan tidak linear di antara komponen- komponen, pergerakan radikal daripada sistem operasi sedia ada dan kesudahannya, kemunculan kembali kawalan pengurusan secara semulajadi.

Jika dilihat aplikasi teori ini sewaktu di awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, berlakunya keadaan yang tidak diduga oleh pihak Kerajaan.

Sebagai contoh, kritikan netizen kepada Menteri Pengajian Tinggi semasa yang baharu, yang mengeluarkan kenyataan agar pelajar IPT terus berada di kolej kediaman masing- masing walhal intipati Perintah Kawalan Pergerakan adalah termasuk penutupan semua institusi pengajian tinggi (IPT) dan swasta serta institut latihan di seluruh negara yang menyebabkan pelajar-pelajar mengambil keputusan untuk pulang ke rumah masing- masing.

Keduanya, kritikan netizen kepada PDRM iaitu flip-flop decision yang dibuat terutamanya berhubung arahan perjalanan antara negeri / rentas sempadan yang pada mulanya hanya melibatkan keperluan dokumentasi surat kebenaran PDRM tetapi setelah itu, dimaklumkan bahawa kebenaran PDRM adalah terhad kepada alasan-alasan tertentu yang bersifat kritikal sahaja.

Contoh seterusnya adalah melibatkan kecaman netizen kepada Ketua Setiausaha Negara kerana meminggirkan lima buah kerajaan negeri- negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri untuk menangani wabak Covid-19. Dalam hal ini, Ketua Setiausaha Negara telah tampil dengan segera membuat kenyataan memohon maaf terhadap tindakan tersebut dan memberi jaminan bahawa tiada mana- mana negeri yang akan dipinggirkan.

Kritikan netizen dan juga dari sesetengah ahli politik ini adalah berdasarkan insiden yang berlaku seperti orang ramai menyerbu pasaraya, berpusu-pusu di terminal bas untuk pulang ke kampung serta tidak kurang yang beratur di balai polis untuk mendapat kebenaran rentas sempadan.

Hakikatnya, kritikan ini adalah suatu perkara yang perlu dilihat secara positif oleh pihak kerajaan agar perubahan radikal yang berlaku sekarang ini sebagaimana yang dijelaskan di dalam teori huru-hara dapat ditangani segera oleh Kerajaan.

Dalam pada masa yang sama, warga netizen, ahli politik dan rakyat jelata amnya perlu bersikap terbuka dan memahami bahawa kemunculan kembali kawalan pengurusan secara semulajadi sepertimana yang dimaksudkan di dalam teori huru-hara tersebut adalah satu proses yang memerlukan sedikit masa agar kerajaan dapat mengambil tindakan berdasarkan kebolehramalan yang lebih jelas.

Ini termasuk mengeluarkan garis panduan yang menyeluruh dan penyampaian maklumat yang efektif agar rakyat lebih memahami arahan tersebut serta bertindak mengikut protokol yang ditetapkan.

Beralih kepada peranan kita sebagai rakyat jelata, kita seharusnya saling ingat- mengingati antara satu sama lain bahawa situasi penularan wabak Covid-19 ini tidak boleh sama sekali dipandang ringan.

Ini adalah kerana krisis sebegini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sehingga melibatkan Perintah Kawalan Pergerakan terpaksa diambil oleh Kerajaan.

Sehingga kini, pengamal perubatan serta pengkaji belum memberi kepastian yang jelas dalam penemuan sebarang vaksin Covid-19 dan yang lebih merungsingkan adalah kadar kematian berada di sekitar 4.1 peratus atau 8,956 orang dari 219,620 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di seluruh dunia.

Malaysia pula berada di tangga ke-18 dalam senarai yang diserang wabak Covid- 19 ini serta yang tertinggi di kalangan negara-negara Asia Tenggara dengan jumlah 790 kes positif Covid-19 dan 2 kematian.

Melihat kepada keadaan tesebut, kita seharusnya memberi lebih keyakinan terhadap usaha kerajaan yang berpaksikan kepada kejayaan tindakan kerajaan negara China.

Langkah yang telah diambil oleh Kerajaan negara China telah terbukti berjaya membendung penularan wabak Covid-19 dengan bilangan kes baru positif wabak tersebut hanya seramai 34 orang sahaja.

Manakala, sejumlah 70,420 orang daripada 80,928 orang yang positif Covid-19 sebelum ini telah sembuh sepenuhnya.

Kejayaan ini bukanlah hasil daripada pemberian vaksin atau sebarang penawar lain kepada wabak tersebut, tetapi disebabkan oleh proses rantaian jangkitan yang berjaya diputuskan dan amalan prosedur kuarantin yang berkesan sehingga berjaya menyelamatkan pesakit.

Justeru penulis ingin menyeru kepada semua rakyat agar bersikap lebih terbuka dengan tindakan kawalan yang dilaksanakan oleh kerajaan yang tidak bersifat berat sebelah kepada mana-mana pihak, peka dan memahami bahawa situasi yang berlaku ini adalah bersifat sementara yang akan ditangani oleh Kerajaan berdasarkan pemahaman teori huru-hara serta bersama mengambil tanggungjawab dengan kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 ini.

Oleh itu, marilah kita bersama- sama, tidak kira bangsa dan agama, menangani Covid-19, musuh kita bersama.

Oleh Shahbudin Embun
Pengerusi Biro Politik
Majlis Perundingan Melayu (MPM) – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button